Dari Amerika Syarikat ke Kelantan, Fahmi Ibrahim Mahu Pikat Irfan Bakti

Pemain sayap kelahiran Amerika Syarikat, Fahmi Ibrahim menjadi antara pemain import yang sedang menjalani tempoh percubaan bersama Kelantan Red Warrior FC (KRW) menjelang saingan Liga Super musim 2026/2027.

Fahmi dilahirkan di Berkeley, California pada 25 April 2000 dan kini berusia 26 tahun. Pemain berketinggian 1.85 meter itu beraksi di posisi sayap kiri dan menggunakan kaki kanan sebagai kaki dominan.

Dia memiliki kewarganegaraan Eritrea dan Amerika Syarikat selepas dilahirkan dalam keluarga berketurunan Eritrea yang berhijrah ke negara berkenaan.

Bermula dalam Bola Sepak Remaja Amerika Syarikat

Fahmi membesar di Alameda, sebuah kawasan berhampiran Berkeley dan memulakan perjalanan bola sepaknya dengan beberapa kelab remaja di California.

Dia kemudiannya menghabiskan empat tahun bermain bola sepak kolej bersama University of California, Berkeley. Sepanjang tempoh tersebut, Fahmi mencatatkan 48 penampilan dan menjaringkan 11 gol.

fahmi Ibrahim

Fahmi ketika beraksi bersama University of California | Foto: Fahmi Ibrahim


Dalam musim terakhirnya di peringkat universiti, dia menyertai Duke University sebagai pelajar siswazah dan melakukan 10 penampilan dan menghasikan dua jaringan.

Berkelana ke Liga Filipina

Selepas menamatkan pengajian di Duke, Fahmi menyertai pasukan USL League Two, San Francisco Glens untuk tempoh singkat selama empat bulan.

Dia kemudiannya meninggalkan pasukan itu bagi mengejar kontrak profesional pertama di Filipina bersama Stallion Laguna.

Fahmi merekodkan empat gol dalam 13 penampilan bersama Stallion Laguna sebelum bertukar pasukan pada 2025 dengan menyertai Maharlika FC dalam Liga Bola Sepak Filipina.

Bersama Maharlika, dia menjadi antara pilihan utama di bahagian sayap dan menjaringkan empat gol daripada 14 penampilan.

Pernah Dipanggil Skuad Kebangsaan Eritrea


Pada 2026, dia menerima panggilan pertamanya menyertai skuad kebangsaan Eritrea bagi menghadapi Eswatini dalam pusingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2027.

Profil Transfermarkt merekodkan Fahmi mempunyai satu penampilan antarabangsa bersama Eritrea tanpa jaringan.

fahmi ibrahim

Fahmi (kanan) ketika menjalani latihan bersama pasukan negaranya, Eritrea | Foto: Fahmi Ibrahim


Eritrea merupakan sebuah negara di timur laut Afrika yang terletak di pesisir Laut Merah. Negara berkenaan bersempadan dengan Ethiopia, Sudan dan Djibouti serta mempunyai populasi yang dianggarkan sekitar 6.4 juta penduduk.

peta negara Eritrea

Peta negara Eritrea | Foto: Britannica

Belum Berjaya Yakinkan Penyokong KRW

Fahmi sudah diturunkan dalam dua perlawanan persahabatan KRW menentang pasukan amatur sepanjang tempoh percubaannya.

Bagaimanapun, berdasarkan reaksi awal penyokong, pemain itu masih belum berjaya meyakinkan sepenuhnya dengan ada yang berpendapat corak permainannya tidak jauh berbeza daripada beberapa pemain tempatan.

759277413_122142669765028407_310874029772586262_n (1)

Fahmi Ibrahim ketika beraksi bersama KRW dalam aksi persahabatan menentang PBJ Tumpat | Foto: Kelantan Red Warrior FC


Namun, penilaian tersebut mungkin masih terlalu awal kerana kedua-dua perlawanan hanya membabitkan pasukan amatur.

Keadaan padang yang kurang memuaskan juga dipercayai menyebabkan pemain KRW lebih berhati-hati ketika beraksi bagi mengelakkan kecederaan, sekali gus mungkin mengehadkan kemampuan sebenar mereka.

Nilai Semasa

Menurut profilnya di Transfermarkt, Fahmi mempunyai nilai pasaran semasa €100,000 atau bersamaan RM464,700.

Sebagai perbandingan, bintang Harimau Malaya, Faisal Halim yang turut bermain di posisi sama mempunyai nilai pasaran €450,000 atau bersamaan RM2.1 Juta.

Bekas pemain sayap Kelantan FC, Fazrul Amir yang kini beraksi bersama KL City mempunyai nilai pasaran semasa yang sama dengan Fahmi iaitu €100,000.

Melaka FC Jadi Ujian Sebenar

Fahmi berpeluang menunjukkan kemampuan sebenarnya apabila KRW menentang pasukan Liga Super, Melaka FC dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV pada 1 Ogos ini.

Berbeza dengan dua aksi terdahulu, perlawanan menentang Melaka FC dijangka menawarkan cabaran lebih kompetitif dan menjadi ujian sebenar buat pemain import serta tempatan yang sedang dinilai.

Aksi tersebut juga memberi peluang kepada ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim untuk mengukur sama ada Fahmi mempunyai kualiti diperlukan bagi memperkuatkan bahagian serangan KRW menjelang saingan Liga Super.

Buat masa ini, masa depan Fahmi bersama pasukan masih belum diputuskan. Namun, persembahannya menentang Melaka FC mungkin memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada dia berjaya memperoleh kontrak bersama KRW.

TERKINI

Dua Rumah Musnah dalam Kebakaran di Rantau Panjang
|
Seorang penduduk ternampak sebuah motosikal terbakar sebelum api merebak…
Dari Amerika Syarikat ke Kelantan, Fahmi Ibrahim Mahu Pikat Irfan Bakti
|
Pemain sayap kelahiran Amerika Syarikat, Fahmi Ibrahim menjadi antara…
Aliff Rakib Bertemu Anwar Selepas Cipta Sejarah di ONE Championship
|
Selepas mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul kejuaraan…
Melaka FC Jadi Medan Ujian Sebenar KRW Menjelang Liga Super
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW) bakal berdepan ujian sebenar…
Merhrom Rayu Malaysia Henti Penghantaran Pulang 5,000 Rohingya ke Myanmar
|
Ketika kerajaan Malaysia mengumumkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000…
Masalah Dadah di Kelantan Serius, Hampir Tiada Kampung Terlepas – Saifuddin
|
Arahan supaya setiap ketua balai polis di Kelantan menahan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!