Selepas mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul kejuaraan dunia ONE Championship, Aliff Rakib berpeluang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Khamis.
Aliff meraih Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship baru-baru ini, sekali gus mencatat satu lagi detik membanggakan dalam sejarah sukan tempur negara.
Aliff bersama ibu dan bapanya dijemput Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya | Foto: Pejabat Perdana Menteri
Kejayaan itu bukan sekadar mengangkat namanya sebagai juara dunia, malah turut membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Menurut perkongsian Aliff di Facebook, pertemuan dengan Perdana Menteri menjadi satu penghormatan yang cukup bermakna serta pembakar semangat untuknya terus berjuang.
“Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang bertemu dengan YAB Dato‘ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, di Putrajaya.
“Ia merupakan satu penghormatan yang amat bermakna buat saya dan menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang, mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan menyokong perjalanan saya. Insya-Allah, saya akan terus memberikan yang terbaik demi negara,” katanya.
Anwar Ucap Tahniah atas Kejayaan Bersejarah
Anwar menerusi perkongsian di Facebook turut mengucapkan tahniah kepada Aliff atas kejayaan bersejarah tersebut.
“Menerima kunjungan Aliff Rakib di pejabat hari ini lantas mengucapkan tahniah di atas kejayaan bersejarah muncul sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship baru-baru ini.
Aliff Rakib bergambar bersama Anwar Ibrahim dengan gaya sebelum pertarungan
“Kejayaan ini bukan sekadar mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah membuktikan bahawa anak muda negara memiliki keupayaan, disiplin dan semangat juang untuk bersaing dengan yang terbaik di dunia.
“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus mengejar impian dengan tekad, iltizam dan usaha yang tidak pernah mengenal putus asa. Syabas Aliff Rakib, Malaysia berbangga dengan kejayaan ini,” katanya.
Pencapaian Aliff memperlihatkan kemampuan atlet muda Malaysia untuk bersaing di peringkat tertinggi dunia menerusi disiplin, semangat juang dan kerja keras.
BERKAITAN: Biodata Penuh Aliff Rakib
Pertemuan bersama Perdana Menteri itu turut menjadi satu lagi detik bermakna dalam perjalanan Aliff selepas mencipta sejarah membawa pulang kejuaraan dunia ONE Championship buat Malaysia.
