Sembilan Venue SUKMA Kelantan 2028 Capai Kemajuan 47.55 Peratus

Persiapan Kelantan untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 terus menunjukkan perkembangan positif apabila pembangunan sembilan venue dan kemudahan berkaitan mencatat purata kemajuan sebenar sebanyak 47.55 peratus.

Angka tersebut berdasarkan kemas kini status projek pada 20 Ogos 2026 dengan dua daripadanya sudah melepasi tahap kemajuan 80 peratus.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad berkata, pelaksanaan projek berkenaan terus dipantau sebagai sebahagian daripada persiapan negeri menjelang temasya itu.

“Berdasarkan kemas kini pada 20 Ogos 2026, kemajuan sembilan projek pembangunan venue dan kemudahan berkaitan SUKMA Kelantan 2028 mencatat purata 47.55 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Projek di Jeli Lepasi Jadual

Menurut Zamakhshari, kerja tanah dan pembinaan jalan masuk utama telah siap sepenuhnya pada 18 Ogos 2026.

Kompleks Sukan Bandar Jeli pula mencatat kemajuan sebenar sebanyak 84.05 peratus, sedikit mendahului kemajuan yang dijadualkan pada kadar 83.60 peratus.

Kontrak kerja pembinaan infrastruktur dan kerja lain yang berkaitan turut menunjukkan perkembangan apabila mencapai tahap kemajuan sebanyak 57.51 peratus.

Stadium Utama Bukit Merbau 40.76 Peratus Siap

Bagi projek Stadium Utama Bukit Merbau yang dilaksanakan secara reka dan bina, kemajuan sebenar direkodkan sebanyak 40.76 peratus.

“Stadium Utama Bukit Merbau (reka dan bina) mencatat kemajuan sebenar 40.76 peratus manakala Lapangan Sasar Menembak mencapai 47.61 peratus berbanding jadual 45.07 peratus,” ujarnya.

Stadium Hoki pula mencatat kemajuan sebenar sebanyak 19.72 peratus, sementara Arena Tertutup Serbaguna mencapai 24.05 peratus.

Pusat Skuasy dan Gelanggang Lawn Bowl Berbumbung kini berada pada tahap kemajuan 23.25 peratus, manakala Pusat Akuatik sudah mencapai 31 peratus.

Perkembangan pembangunan semua venue berkenaan menjadi antara persiapan penting Kerajaan Negeri Kelantan bagi memastikan kemudahan sukan dan infrastruktur berkaitan berada pada tahap sewajarnya sebelum berlangsungnya SUKMA Kelantan 2028.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!