Seorang abang sulung dihukum penjara 18 tahun dan 20 sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol adik kandungnya ketika mangsa berusia 13 tahun, di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Isnin.
Tertuduh yang merupakan duda dan penganggur berusia 29 tahun dijatuhkan hukuman selepas mengakui semua pertuduhan dan fakta kes yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Berdasarkan fakta kes, salah satu kejadian rogol itu turut berlaku ketika mangsa tidak ke sekolah kerana demam.
Dua Kejadian Rogol Di Rumah Tanah Merah
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa pada jam 10 pagi, sekitar Disember tahun lalu di sebuah rumah di Tanah Merah.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa merogol mangsa ketika berusia 13 tahun lima bulan pada jam 12.45 tengah malam, 4 Mei lalu di lokasi sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan Minta Hukuman Jadi Pengajaran
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, tertuduh yang mempunyai 11 beradik turut memohon supaya ditempatkan di Penjara Bentong kerana pernah menghuni penjara berkenaan sebelum ini atas kesalahan dadah.
Siti Aiysha Na’ilah berhujah bahawa hukuman perlu benar-benar memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
“Mohon mahkamah ambil kira juga hampir saban hari mahkamah ini mengendalikan kes-kes jenayah seksual melibatkan mangsa kanak-kanak.
“Kes ini juga amat serius kerana tertuduh ialah abang kandung yang sepatutnya menjadi pelindung kepada mangsa sebagai adiknya namun melakukan perbuatan jijik terhadap mangsa yang masih remaja,” katanya.
Mahkamah Arah Kaunseling Dan Pengawasan Polis
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 20 sebatan, selain mengeluarkan perintah tambahan supaya tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
