[DIKEMASKINI] Satu video memaparkan kemalangan jalan raya dipercayai melibatkan pelajar sekolah tular di media sosial selepas kejadian dilaporkan berlaku di Kampung Pek Machang, pagi tadi.
Empat bersaudara terdiri daripada tiga murid sekolah rendah dan seorang pelajar sekolah menengah cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu – Kuala Krai, Kampung Pek, Machang pada Isnin.
Mangsa yang cedera ialah penunggang motosikal, Muhammad Muskir Rosli, 14, pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan.
Tiga lagi pembonceng motosikal berkenaan ialah Mas Siti Rosnani Rosli, 7, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, yang masing-masing bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pek.
Pemandu kereta iaitu seorang guru wanita berusia 39 tahun dilaporkan tidak cedera.
Motosikal Dipercayai Belok Mengejut
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, kejadian kira-kira jam 7 pagi itu membabitkan kereta jenis Honda Jazz yang dipandu guru wanita terbabit dengan motosikal jenis Honda C100 dinaiki kesemua mangsa.
“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipandu dari arah Machang menghala ke Kuala Krai manakala motosikal ditunggang pelajar lelaki bersama tiga pembonceng tersebut datang dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang sekolah sebelum melanggar bahagian hadapan sisi kanan kereta yang sedang melalui laluan sah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Akibat perlanggaran itu, kesemua mangsa dilaporkan bergelimpangan di atas jalan.
Dirujuk Ke Hospital Sultan Ismail Petra
Azuhar berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-9751222.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SHARE:
