Seorang lelaki dipercayai terjatuh dari Jambatan Tanjung Lumpur pada petang Rabu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Pekan selepas bercuti di Cherating bersama isterinya, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Ashari Abu Samah, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.39 petang apabila mangsa dipercayai meluahkan tekanan emosi kepada isterinya sehingga mencetuskan pertengkaran antara pasangan berkenaan.
Menurut beliau, ketika berada di atas jambatan tersebut, mangsa telah memberhentikan kenderaan sebelum berlaku satu insiden yang tidak berjaya dihalang oleh isterinya.
“Semasa kejadian, mangsa dan isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah di Pekan selepas bercuti di Cherating.
“Mangsa dipercayai meluahkan tekanan emosi kepada isterinya sehingga berlaku pertengkaran sebelum memberhentikan kenderaan di atas jambatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ashari berkata, hasil temu bual lanjut mendapati lelaki berkenaan mengalami masalah mental sejak hampir dua tahun lalu.
“Mangsa dikatakan gagal mendapatkan rawatan lanjut di hospital dan sering dilihat bercakap seorang diri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pasangan itu telah berkahwin hampir 15 tahun dan dikurniakan lima orang anak.
Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan oleh sebuah bot pemancing yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut.
“Mangsa hanya mengalami kecederaan terseliuh di bahu kiri dan kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
