32 Kes Keganasan Rumah Tangga Direkodkan di Kelantan, Suami Juga Ada Jadi Mangsa

Keganasan rumah tangga bukan hanya berlaku apabila suami mendera isteri, malah isteri atau ahli keluarga lain juga boleh menjadi pelaku, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan.

Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerana keganasan dalam institusi keluarga boleh menyebabkan kecederaan parah, kematian atau mendorong kepada perlakuan jenayah lain sekiranya tidak dibendung.

Beliau berkata, tekanan yang dihadapi seseorang bukan alasan untuk melepaskan kemarahan dengan menggunakan kekerasan terhadap pasangan atau ahli keluarga.

“Kadangkala, individu yang berdepan tekanan mungkin mencari ruang untuk melepaskan tekanan itu, namun ia tidak sepatutnya dilakukan dengan menggunakan kekerasan terhadap pasangan atau ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara JKM Negeri Kelantan Tahun 2026 di Kota Bharu, pada 13 Okt.

32 Kes Keganasan Rumah Tangga Direkodkan

Menurut Che Samsuzuki, sebanyak 32 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Kelantan setakat tahun ini.

Antara kejadian terbaharu yang disebut beliau ialah kes seorang wanita yang cedera parah selepas ditikam suaminya di Kampung Padang Lepai, Kadok, pada 5 Okt lalu.

Sehubungan itu, JKM akan terus bekerjasama dengan Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan rumah tangga.

Kerjasama itu turut merangkumi usaha menyebarkan maklumat mengenai saluran bantuan yang boleh digunakan oleh mangsa.

Che Samsuzuki menggesa individu yang mengalami keganasan supaya tampil mendapatkan bantuan daripada JKM atau Pejabat Pembangunan Wanita.

Mangsa juga disaran membuat laporan polis dan mendapatkan pemeriksaan perubatan sekiranya mengalami kecederaan.

“Jangan berdiam diri atau menganggap perkara itu sebagai masalah keluarga semata-mata. Mangsa perlu mendapatkan bantuan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!