PEKAN – Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika mencari etok bersama keluarganya di Sungai Pahang, berhampiran Kampung Bukit Kenau, pada jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud, berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Zainureen Abd Rashid, 45, dipercayai dihanyutkan arus kira-kira jam 6 petang ketika mencari kerang sungai itu bersama empat ahli keluarga.
Menurut beliau, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.18 petang.
“Bomba melakukan pencarian di permukaan sungai sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang, namun sehingga kini mangsa masih gagal ditemui,” katanya ketika dihubungi.
Berdasarkan keterangan saksi, mangsa pada awalnya berada di kawasan cetek namun dipercayai tergelincir ke kawasan lubuk sebelum dihanyutkan arus deras.
“Lelaki itu dilaporkan kelihatan terkapai-kapai sebelum tenggelam. Saudara mangsa yang berada bersama turut cuba menyelamatkannya tetapi tidak berjaya,” jelasnya.
Tambah beliau, penduduk setempat memaklumkan kawasan kejadian merupakan bekas tapak lombong pasir dengan paras kedalaman dianggarkan lebih dua meter.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan anggota bomba ditangguhkan pada 7.30 malam semalam dan akan disambung semula hari ini.
#KelantanDaily
Sumber: Buletin TV3, Harian Metro
