Wanita Menyamar Anggota Polis Perdaya Pesara Guru Serah Emas Dan Kad ATM

Seorang wanita berusia 31 tahun ditahan selepas disyaki menyamar sebagai pegawai polis dan menipu seorang pesara guru berusia 75 tahun sehingga mangsa menyerahkan dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta rantai leher emas bersama loket bernilai kira-kira RM15,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek ditahan pada 13 September lalu di Kota Bharu hasil risikan dan maklumat yang diterima pihak polis.

Menurut beliau, kejadian berlaku pada 12 September apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

"Mangsa dimaklumkan mempunyai saman mahkamah berjumlah RM25,000 dan didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram serta sindiket dadah yang boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun.

"Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman melalui WhatsApp," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Yusoff berkata, mangsa dipercayai panik selepas mendengar dakwaan tersebut sebelum diarahkan merahsiakan perkara berkenaan daripada orang lain.

Mangsa kemudiannya diarahkan menyerahkan dua kad ATM serta rantai leher bersama loket emas milik isterinya atas alasan pegawai penyiasat akan datang ke rumah.

Wanita Datang Ambil Barang

Menurut beliau, kira-kira jam 5 petang, seorang wanita datang ke rumah mangsa dengan menaiki sebuah kereta sebelum mengambil barangan tersebut dan beredar.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek menerima arahan melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali untuk mengambil barangan milik mangsa," katanya.

Tambah beliau, rantai emas berkenaan kemudiannya dijual di sebuah kedai emas di Kota Bharu pada hari sama.

Sebahagian wang hasil jualan pula dimasukkan ke akaun pihak ketiga.

Bagaimanapun, mangsa sempat menghubungi pihak bank untuk menyekat kedua-dua kad ATM tersebut dan tiada transaksi dikesan.

Emas Berjaya Diperoleh Semula

Dalam siasatan yang dijalankan, polis merampas dua kad ATM milik mangsa, sebuah Perodua Axia, resit bank-in serta resit kedai emas.

"Rantai emas berkenaan turut berjaya diperoleh semula daripada kedai emas terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Yusoff turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia atau pihak bank bagi mendapatkan barangan berharga.

"Polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia dan pihak bank tidak akan menghubungi anda untuk meminta menyerahkan kad ATM, PIN atau barang kemas kepada sesiapa.

"Jangan panik dengan ugutan saman atau tangkapan. Tamatkan panggilan dan sahkan sendiri dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menerima arahan daripada individu tidak dikenali untuk mengambil atau menjual barangan kerana tindakan itu boleh menyebabkan mereka disiasat sebagai pihak yang terlibat.

Bagi mereka yang baru menyedari telah menjadi mangsa penipuan, orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi NSRC 997 dan membuat laporan polis.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!