Lelaki Dikhuatiri Lemas Selepas Terjun ke Sungai Golok Ketika Lari daripada PGA

Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Golok ketika cuba melarikan diri daripada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Abe Yie Parking, Rantau Panjang, awal pagi Jumaat.

Menurut laporan Bernama, kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 pagi ketika anggota PGA sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Dua lelaki yang belum dikenal pasti identitinya dikesan berada di tebing Sungai Golok berhampiran kawat duri ‘concertina’ yang telah dirosakkan.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua lelaki itu melarikan diri sebelum terjun ke dalam sungai sebaik menyedari kehadiran anggota bertugas.

“Seorang daripada lelaki berkenaan sempat berpaut pada tali sebelum diselamatkan seorang pemandu bot dari Thailand yang kemudian membawanya ke tebing sungai sebelah Thailand. Seorang lagi hilang dipercayai hanyut dan dikhuatiri lemas,” katanya dalam kenyataan.

Ketika kejadian, jarak antara anggota PGA dengan kedua-dua lelaki berkenaan dianggarkan kira-kira lima meter.

Kejadian itu dimaklumkan kepada Pegawai Strike Force Kompeni C Batalion 8 PGA pada jam 4.32 pagi.

Maklumat kemudian disalurkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!