Menteri Besar Kelantan, Dato' Haji Mohd Nassuruddin Daud mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bagi membawa hasrat, keperluan dan kepentingan rakyat negeri ini.
Mohd Nassuruddin berkata, pertemuan tersebut menjadi ruang penting untuk memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Alhamdulillah, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim atas kesudian menerima kunjungan hormat saya bagi membawa hasrat, keperluan dan kepentingan rakyat Kelantan,” katanya.
Menurutnya, hubungan antara kedua-dua pihak penting khususnya dalam menyelaraskan agenda pembangunan serta perkara yang menyentuh kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Kepentingan rakyat mengatasi perbezaan
Mohd Nassuruddin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala perbezaan.
“Bagi Kerajaan Negeri, kepentingan rakyat mengatasi segala perbezaan.
“Apa jua ruang kerjasama yang mampu membawa kebaikan kepada Kelantan akan terus diteroka dan diperkasa dengan semangat saling menghormati serta tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau berharap hubungan baik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan dapat terus membawa Kelantan bergerak ke hadapan.
“Insya-Allah, dengan hubungan yang baik dan kerjasama yang erat, kita akan terus membawa Kelantan melangkah ke hadapan menuju Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera,” katanya.
