Sebanyak 778,708.34 hektar atau 51.79 peratus daripada keseluruhan keluasan Kelantan masih diliputi kawasan berhutan.
Jumlah itu sekali gus meletakkan Kelantan sebagai negeri yang mempunyai kawasan berhutan ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, keluasan tersebut turut menyokong aspirasi negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih atau net zero carbon melalui usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).
Menurut beliau, kerajaan negeri komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan Kelantan sebagai kawasan berhutan selaras dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Menerusi Teras Satu Kelestarian Sumber Hutan, kawasan hutan dan litupan pokok perlu dikekalkan, diurus serta ditingkatkan secara terancang.
Usaha tersebut sejajar dengan komitmen negara untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah kekal sebagai hutan dan litupan pokok.
“Langkah ini bagi mengekalkan kehijauan bumi dan kestabilan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Chetok, Zuraidin Abdullah pada Persidangan Kali Kedua bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, pada 11 Ogos.
Empat strategi kekalkan kawasan hutan
Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan sedang melaksanakan empat strategi bagi memastikan kawasan berhutan terus dikekalkan dan ditingkatkan.
Strategi pertama ialah mengenal pasti kawasan tanah kerajaan yang berpotensi untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.
Kerajaan negeri juga melaksanakan pewartaan hutan perlindungan mengikut kelas fungsi hutan di bawah Seksyen 10(1) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) (Pindaan) No. 3 Tahun 2025.
“Pertama, mengenal pasti kawasan tanah kerajaan yang berpotensi untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.
Kedua, melaksanakan pewartaan hutan perlindungan mengikut kelas fungsi hutan mengikut Seksyen 10(1) di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) (Pindaan) No. 3 Tahun 2025.
“Ketiga, melaksanakan program pemulihan hutan terosot dan penanaman semula pokok melalui Kempen Penghijauan Malaysia. Keempat, melaksanakan aktiviti operasi hutan untuk membanteras aktiviti teroka haram,” jelasnya.
Selain pewartaan kawasan hutan, program pemulihan hutan terosot dan penanaman semula pokok turut dijalankan melalui Kempen Penghijauan Malaysia.
Operasi penguatkuasaan pula dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penerokaan hutan secara haram di negeri ini.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
