Kemerdekaan perlu dimaknai bukan sekadar sebagai pembebasan fizikal daripada cengkaman penjajah, tetapi turut melibatkan kebebasan jiwa dan minda untuk menentukan kedaulatan negara berlandaskan petunjuk wahyu.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud berkata, detik 31 Ogos merupakan tarikh keramat yang menuntut seluruh rakyat merenung erti kebebasan yang sebenar.
Menerusi Perutusan Khas Menteri Besar Kelantan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Tahun 2026, beliau menekankan bahawa semangat hubbul watan atau cinta akan tanah air merupakan sebahagian daripada fitrah yang dituntut agama.
“Sebagai umat Islam, kita memahami bahawa hubbul watan atau cinta akan tanah air adalah sebahagian daripada fitrah yang dituntut oleh agama.
“Imam al-Ghazali rahimahullahu taala pernah mengingatkan bahawa agama dan negara adalah saudara kembar yang saling memerlukan. Agama sebagai asas dan pemerintah sebagai penjaga,” katanya.
Menurutnya, tanpa kedaulatan, agama tidak dapat ditegakkan dengan sempurna, manakala negara yang tidak dipandu agama akan kehilangan kompas kebenaran.
Patriotisme berteraskan al-Quran dan al-Sunnah
Sejajar dengan tema “Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati: Penghayatan Membangun Bersama Islam”, beliau menggariskan tiga tindakan utama untuk diterjemahkan oleh rakyat.
Tindakan pertama ialah mengukuhkan nilai patriotisme berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.
Menurut beliau, cinta akan negara perlu diterjemahkan melalui suluhan iman dengan setiap anak watan menghargai sejarah perjuangan tokoh terdahulu yang berkorban mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan tanah air.
Persiapkan generasi berjati diri
Tindakan kedua pula memberi tumpuan kepada usaha mempersiapkan generasi pewaris yang memiliki jati diri teguh.
“Kemerdekaan masa hadapan bergantung kepada kualiti generasi hari ini. Kita mahu melahirkan modal insan yang bukan sahaja bijak akalnya, tetapi ampuh jati diri dan pemikirannya agar kedaulatan negara tidak mudah digadaikan kepada telunjuk kuasa asing,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan masa depan negara bergantung kepada kualiti generasi yang sedang dibentuk pada hari ini.
Perkukuh perpaduan dan junjung Rukun Negara
Tindakan ketiga ialah memperkasakan perpaduan ummah serta menjunjung prinsip Rukun Negara.
“Keamanan yang kita nikmati adalah anugerah yang perlu dijaga dengan semangat persaudaraan yang utuh.
“Marilah kita menghormati kontrak sosial dan teras pembentukan negara sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara demi menjamin masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Mohd Nassuruddin turut mengajak rakyat membulatkan tekad untuk terus membangunkan Kelantan khususnya dan Malaysia amnya sebagai sebuah negara yang diberkati serta diredai Allah SWT, Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.
“Semoga semangat kemerdekaan ini tidak sekadar menjadi sambutan tahunan, tetapi menjadi obor yang membakar semangat kita untuk bekerja dengan penuh amanah dan integriti,” katanya.
