Seorang peniaga dalam talian berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu pada Selasa atas pertuduhan berlagak seperti wanita.
Menurut laporan Sinar Harian, tertuduh, Khairul Izwan Sidi Ahmad, 25, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Firdaus W Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, Khairul Izwan didakwa berlagak seperti perempuan dengan memakai baju-T jenis slim fit atau ketat, seluar dalam wanita dan selipar perempuan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) kira-kira jam 2.35 petang pada 9 November 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Kelantan, Syafika Mat Husin dengan dibantu Ezarihan Mat.
Tertuduh pula diwakili dua peguam syarie, Muhammad Syarafi Mohd Salleh dan Mohd Faqqhurudin Mohd Nasir.
Peguam Mohon Jaminan Dikurangkan
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Muhammad Syarafi memohon supaya jumlah tersebut dikurangkan kepada RM500 dengan mengambil kira status OKU tertuduh serta tanggungjawabnya sebagai penyumbang utama bagi membiayai komitmen keluarga.
“Tertuduh merupakan seorang OKU dan kami mempunyai maklumat mengenai status tersebut selain perlu menanggung bil elektrik kediaman keluarga sebanyak lebih RM400 sekali gus menjadi komitmen bulanannya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 Disember depan.
Muhammad Syarafi ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah memaklumkan bahawa anak guamnya sudah membayar ikat jamin yang ditetapkan.
Sumber: Sinar Harian
