Seorang penoreh getah dihukum penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah melibas parang dan mencederakan seorang warga emas di Kuala Krai, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Rezuan Muhamad @ Yusuf, 35, membuat pengakuan itu terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Krai pada Selasa.
Majistret Rais Imran Hamid kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan bagi pertuduhan kedua, dengan kedua-duanya berjalan serentak dari tarikh sabitan.
Libas Parang Dan Cederakan Warga Emas
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Rezuan didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Abdulhadee Chedah, 64, dengan cara melibas parang.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Kedua-dua perbuatan itu berlaku di sebuah pondok bersebelahan tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Kuala Krai, Pahi, kira-kira pukul 12 tengah hari pada 2 Oktober 2026.
Tidak Puas Hati Dengan Jawapan Mangsa
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ketika berada di pondok berkenaan bertanyakan kepada mangsa mengenai keberadaan anaknya.
Bagaimanapun, tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan, Mohd. Rezuan bertindak mengacukan sambil melibas sebilah parang beberapa kali.
Dia kemudian menyepak warga emas berkenaan sehingga terkena bahagian bibir dan menyebabkan kecederaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Noor, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farazalila Fauzi.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Peguam pula memohon hukuman denda minimum dengan alasan tertuduh bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM150 seminggu.
“Tertuduh juga menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan anak berusia setahun,” ujarnya.
Majistret Nasihat Ambil Pengajaran
Sebelum menjatuhkan hukuman, Rais Imran turut menasihati tertuduh supaya mengambil pengajaran daripada kejadian itu dan tidak mengulanginya.
“Ambil pengajaran, dia sudah tua dan bukan ahli keluarga kamu. Dia takut dengan kamu. Ambil perhatian, kamu libas dia dengan parang dan saya tidak suka benda macam ini berlaku.
“Kamu ada anak kecil. Kalau anak kecil,isteri atau keluarga sendiri kena buat macam ini, mesti kamu akan marah,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan bagi pertuduhan kedua.
Kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak dari tarikh sabitan iaitu hari ini.
Sumber: Kosmo!
