[VIDEO] Pelajar Tingkatan 2 Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Ambil Mata Kail di Kota Bharu

Aktiviti memancing seorang pelajar bersama adik dan saudaranya berakhir tragedi apabila dia maut terkena renjatan elektrik di Kampung Langgar, Kota Bharu, petang semalam.

Menurut laporan Kosmo, kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu berlaku ketika mangsa, Mohamad Amiruddin Anwar Md. Azam, 14, cuba mengambil mata kail yang dipercayai tersangkut pada wayar elektrik menggunakan galah besi.

Pelajar tingkatan dua itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ibunya, Norhabibi Jaafar, 52, berkata, sebelum kejadian, Mohamad Amiruddin bersama adiknya, Azamuddin Azwa dan saudara mereka, Eizzrayyan Riduan menunggang basikal ke kawasan sungai untuk mengail ikan.

Menurutnya, Mohamad Amiruddin melemparkan tali pancing ke dalam sungai sebaik tiba di lokasi sebelum mata kail dipercayai tersangkut pada wayar elektrik.

“Arwah dikatakan berpatah semula ke rumah yang hanya terletak 100 meter dari lokasi kejadian untuk mengambil galah besi mengait buah untuk mengambil semula mata kail itu.

“Ketika mengait mata kail itu, Mohamad Amiruddin terkena renjatan elektrik. Adiknya sempat melihat arwah berada dalam keadaan kaku dengan memegang galah tersebut sebelum rebah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Langgar.

Eizzrayyan yang berada berhampiran Mohamad Amiruddin sempat memegang tubuh mangsa sehingga menyebabkan dia turut terkena sedikit renjatan elektrik.

Adik mangsa kemudian berlari meminta bantuan saudara-mara sebelum pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada ibu mereka.

“Seorang doktor yang kebetulan tinggal berhampiran lokasi kejadian datang membantu arwah dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum membawanya ke HRPZ II.

“Melihat keadaan Mohamad Amiruddin yang terbujur kaku, saya sudah reda sebelum arwah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HRPZ II,” ujarnya.

Mohamad Amiruddin merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Allahyarham juga gemar memancing dan sering keluar melakukan aktiviti itu pada waktu petang.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Langgar kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.


Sumber: Kosmo

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!