Penantian selama empat hari keluarga Muhamad Rayyan Hakimie Mohd Yusmiza berakhir dengan khabar duka apabila jasad remaja berusia 14 tahun itu ditemukan pada petang Jumaat.
Menurut laporan Berita Harian, jasad mangsa ditemukan di Kampung Bandar, Pulai Chondong, Machang, kira-kira jam 2.50 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, lokasi penemuan itu terletak kira-kira 51 kilometer dari tempat mangsa dipercayai lemas di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Aur Duri, Kuala Krai.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Keluarga Akhirnya Mendapat Jawapan
Ibu mangsa, Norhasmiza Kamarudin, 39, berkata keluarganya bersyukur kerana jasad anak kedua daripada tiga beradik itu akhirnya ditemukan selepas empat hari pencarian.
“Sebagai seorang ibu, saya amat berharap Rayyan ditemui dalam keadaan selamat, tetapi Allah SWT menentukan sebaliknya.
“Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana selepas empat hari akhirnya kami mendapat jawapan dan dapat membawa pulang jasad anak untuk disemadikan dengan sempurna,” katanya.
Norhasmiza turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat dan semua pihak termasuk penduduk kampung yang bertungkus-lumus mencari Rayyan sejak hari pertama kejadian.
“Jenazah anak saya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur Duri lewat petang ini,” katanya.
Dua Sahabat Ditemukan Meninggal Dunia
Dalam kejadian kira-kira jam 6.39 petang pada Selasa, 11 Ogos 2026, Rayyan dan rakannya, Muhammad Lut Na’iman Mohd Noor Aziron, 14, dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai berkenaan bersama tiga lagi rakan.
Jasad Muhammad Lut Na’iman ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai kira-kira jam 9.10 pagi pada Rabu.
Mangsa ditemukan sekitar 50 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai.
Sumber: Berita Harian
