Dua Pelajar Tingkatan Dua Dikhuatiri Lemas di Sungai Kelantan

Dua pelajar Tingkatan Dua dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi bersama tiga lagi rakan di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri, Kuala Krai pada Selasa.

Kedua-dua remaja berusia 14 tahun itu dikenali sebagai Mohd Rayyan Hakimi dan Luth Naiman Mohd Noraziron.

Menurut laporan Sinar Harian, kejadian disedari selepas tiga rakan mangsa meminta pertolongan daripada seorang lelaki yang sedang mengail udang di kawasan berkenaan.

Penduduk, Muhammad Bukhari Mohd Zawawi, 38, berkata, dia menerima panggilan daripada bapa saudaranya, Zaidin Musa, 49, sekitar jam 6.30 petang yang memintanya menghubungi pihak bomba.

“Ketika itu bapa sepupu saya sedang mengail udang di sungai berkenaan kemudian katanya ada tiga remaja meminta tolong dan memaklumkan dua rakan mereka lemas.

“Menurut bapa sepupu semasa kejadian hujan lebat. Saya pun tanpa berlengah terus menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Bukhari berkata, kawasan berkenaan sering dikunjungi penduduk untuk mandi-manda kerana mempunyai daratan pasir yang luas.

Bagaimanapun, kejadian lemas juga pernah berlaku di lokasi berkenaan dengan insiden terakhir dilaporkan beberapa tahun lalu.

Operasi terganggu akibat hujan lebat

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Aiman Aminuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 petang.

Pasukan bomba kemudian menjalankan pencarian di permukaan sungai, namun berdepan hujan lebat dan jarak penglihatan terhad.

“Setibanya di lokasi, cuaca hujan lebat dan pandangan menjadi terhad.

“Kami melakukan carian di permukaan sungai, bagaimanapun operasi ditangguhkan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan dan disambung esok,” katanya.

Seramai tujuh anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kedua-dua pelajar tersebut.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!