Perjalanan sebuah keluarga dari Rantau Panjang menuju ke hospital bertukar menjadi detik mencemaskan apabila seorang wanita melahirkan anak lelakinya di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika berada di Kampung Pendek, Kota Bharu, kelmarin.
Menurut laporan Kosmo, Nuraisyah Fauzi, 28, melahirkan anak keenam kira-kira pukul 1.55 pagi di dalam Toyota Estima yang sedang menuju ke Hospital Pakar KPJ Perdana.
Bayi itu disambut oleh ibunya, Rosminie Che Yusoff, 56, manakala MPV berkenaan dipandu oleh abangnya, Fakhrurrozi, 32.
Suami Nuraisyah, Siraj Yasman, 39, berkata, isterinya mula mengalami kontraksi ketika berada di rumah mereka di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Riyadh, Gual Tinggi dekat Rantau Panjang, kira-kira pukul 11 malam.
Bagaimanapun, dia pada awalnya menyangka ia hanya kesakitan biasa dan isterinya masih mampu bertahan sehingga waktu subuh berdasarkan pengalaman melahirkan lima anak sebelum ini.
“Pada pukul 1.40 pagi, saya sudah bersiap-siap dan pergi ke rumah ibu mentua yang tinggal di kawasan sama sebelum menaiki MPV milik abang ipar untuk membawa Nuraisyah ke Hospital Pakar KPJ Perdana.
“Ketika tiba di Kampung Pendek selepas 15 minit perjalanan, isteri memaklumkan bahawa kainnya basah dan kepala anak kami sudah keluar. Ibu mentua saya yang duduk di tempat duduk penumpang depan terus berpusing dan menjadi bidan menyambut kelahiran anak keenam kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo.
Video kejadian tersebut kemudiannya tular di media sosial dan telah meraih lebih dua juta tontonan.
Hanya Mampu Berselawat dan Berzikir
Siraj yang bertugas sebagai guru al-Quran di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Riyadh berkata, dia berada dalam keadaan panik ketika menyaksikan ibu mentuanya membantu proses kelahiran tersebut.
Ketika itu, dia hanya mampu berselawat dan berzikir sementara ibu mentuanya menyambut bayi berkenaan di dalam MPV.
Kakak iparnya, Siti Hajar Tajuddin, 27, yang berada di tempat duduk penumpang belakang sempat merakam detik tersebut.
“Selepas bersalin, saya terus memangku anak lelaki dan melaungkan azan ke telinganya. Saya masih ingat, abang ipar memandu MPV dalam keadaan sangat laju untuk tiba di hospital. Mujur tiada apa-apa yang berlaku kepada kami.
“Apabila tiba di Hospital Pakar KPJ Perdana, jururawat dan staf hospital tersebut sudah menunggu kami di lobi kerana saya sudah menghubungi mereka selepas isteri bersalin di dalam MPV.
“Ibu mentua juga tiada pengalaman menjadi bidan, tetapi dia ada memaklumkan pernah melihat video kaedah bersalin di TikTok sebelum ini. Daripada video itu, dia cuba membantu isteri saya ketika melahirkan anak kami dalam keadaan darurat,” ujarnya.
Siraj memberitahu, isteri dan bayi lelaki mereka yang masih belum diberikan nama berada dalam keadaan sihat ketika tiba di hospital.
Sumber: Kosmo
