Sepasang suami isteri warga emas maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori berhampiran Pasar Segar di Kampung Paya Lada, Ketereh pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, penunggang motosikal, Idris Che Ngah, 74, dan isterinya, Azizah Che Mbong, 62, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda Wave dinaiki pasangan warga emas berkenaan datang dari arah Ketereh menuju Kota Bharu.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan yang berada di hadapannya.
“Bagaimanapun, motosikal gagal memasuki semula laluannya sebelum bertembung dengan lori jenis Inokom yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia awal 40-an yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju Ketereh.
Menurut Mohd Azmir, lori itu berada di laluan yang sah ketika kemalangan berlaku.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk bedah siasat,” katanya.
Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi talian 09-7752315,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
