Kastam Kelantan Rampas Rokok RM1.37 Juta dalam Ops Asap Cino

Taktik menyembunyikan rokok menggunakan guni putih berisi sabut kelapa terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menyerbu dua kenderaan di Kampung Pauh 9, Tawang, Bachok.

Sebanyak 1.95 juta batang rokok pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan RM1.37 juta termasuk duti dan cukai dirampas menerusi Ops Asap Cino pada 17 Ogos lalu.

Menurut laporan Bernama, serbuan pertama kira-kira jam 10.30 malam menemukan sebuah lori Hino yang ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, pemeriksaan terhadap lori tersebut menemukan 1.701 juta batang rokok yang disimpan di dalam 74 kotak.

“Rokok berkenaan disembunyikan menggunakan guni putih berisi sabut kelapa. Nilainya RM1.194 juta termasuk duti dan cukai, manakala lori itu bernilai RM150,000,” katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Rantau Panjang pada 19 Ogos.

Toyota Unser Turut Disita

Pemeriksaan lanjut di lokasi sama menemukan sebuah Toyota Unser yang mengandungi 253,600 batang rokok.

Rokok berkenaan bernilai RM178,027.20 termasuk duti dan cukai, manakala kenderaan yang dianggarkan bernilai RM15,000 turut disita.

Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan sungai berhampiran sempadan Malaysia-Thailand untuk membawa masuk rokok ke negara ini.

Rokok tersebut kemudian dipindahkan ke kenderaan sebelum dihantar untuk pasaran di luar Kelantan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.

Pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!