[VIDEO] Pempengaruh Amerika ‘Terperangkap’ Dua Jam di Pasar Siti Khadijah

Sebelum melangkah masuk ke Pasar Siti Khadijah, Tico sudah membuat satu janji kepada dirinya sendiri.

Dia hanya mahu mencuba satu makanan.

Namun, pasar terkenal di Kota Bharu itu seolah-olah mempunyai rancangan lain buat pempengaruh warga Amerika Syarikat berkenaan.

Satu demi satu hidangan bertukar. Dari mee celup, kemudian muncul pula laksam, aneka kuih tradisional dan pelbagai makanan lain yang sukar ditolak.

“Saya buat satu kesalahan selepas masuk ke Pasar Siti Khadijah... Saya asyik cakap, ‘saya nak cuba satu benda je’.

“Dua jam kemudian, saya dah makan mee celup, laksam, macam-macam kuih tempatan dan entah berapa banyak lagi hidangan yang saya sendiri tak dapat kira.

"Tapi yang peliknya, masih banyak makanan yang memanggil-manggil nama saya. Rasanya memang mustahil keluar dari pasar ni dalam keadaan lapar,” katanya.

Sepanjang berada di pasar itu, Tico bukan sekadar makan.

Dia berhenti di setiap gerai, bertanyakan pelbagai soalan dan mendengar para peniaga menerangkan makanan yang dijual dengan ramah.

Ada satu lagi gelagatnya yang membuatkan warga maya terhibur.

Selepas makan menggunakan tangan, Tico membersihkan jarinya menggunakan titisan air yang terbentuk pada bahagian luar gelas air ais.

Perkara kecil itu cukup untuk membuatkan rakyat Malaysia menganggapnya semakin “pro”.

“Kalau cuci tangan macam gitu maknanya dia dah pro dah tu,” seloroh seorang pengguna media sosial.

Tico sebelum ini turut menjelajah beberapa lokasi di Terengganu dan mengunjungi Rembayung, restoran milik Khairul Aming.

Namun, di Pasar Siti Khadijah, dia menemui satu masalah baharu.

Bukan tiada makanan yang boleh dimakan, tetapi terlalu banyak makanan sehingga sukar untuk berhenti.

Dia datang dalam keadaan lapar dengan rancangan mahu mencuba satu hidangan.

Dua jam kemudian, dia pulang dengan perut kenyang dan mungkin senarai makanan baharu yang masih belum sempat dicuba.



Sumber: ticoeatz

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!