Pelakon filem dan drama, Kamarool Yusoff yang lebih dikenali sebagai Cik Man meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah pada petang Rabu.
Menurut laporan Utusan, Allahyarham yang berusia 65 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.15 petang.
Sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan akibat masalah jantung.
Berita pemergian Kamarool turut dikongsikan pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak menerusi satu hantaran di media sosial.
“Semoga arwah abang Kamarool ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.
Kamarool cukup dikenali peminat menerusi watak Cik Man dalam filem Rock dan Rock Oo.
Selain membintangi filem Gila-Gila Remaja, Allahyarham turut popular melalui watak Chomprak, seorang bomoh Siam dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah serta banyak lagi karya lain.
Sumber: Utusan
