Jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang ditemukan maut di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Pengkalan Kubor, awal pagi ini.
Pengebumian Allahyarham dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan yang datang memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah tiba di kediaman keluarganya di Kampung Banjir, Telaga Lanas, kira-kira pukul 1.10 pagi dengan menaiki van untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Pertemuan terakhir jadi kenangan bermakna
Abang Allahyarham, Mohd Hazwan, 38, berkata pertemuannya dengan adik pada pagi kejadian menjadi kenangan terakhir yang amat bermakna buat dirinya.
Menurutnya, dia sempat bermalam di rumah Norhazwani sebelum bertolak pulang ke Kelantan selepas menyelesaikan urusan di Bangi.
Beliau berkata, mereka sempat berbual seperti biasa pada pagi tersebut dan tidak menyangka pertemuan itu menjadi yang terakhir.
“Pagi itu saya sempat jumpa adik sebelum balik ke Kelantan. Kami bersembang elok-elok, tiada apa-apa yang pelik berlaku. Sebab itu saya rasa sangat terkilan dan tidak sangka perkara ini berlaku,” katanya kepada pemberita di kediamannya, awal pagi ini.
Pegawai AKPS ditemukan maut di kuarters KLIA
Pada Khamis lalu, seorang pegawai AKPS ditemukan maut di kuarters KLIA di Nilai, Negeri Sembilan.
Mangsa dipercayai dibunuh oleh suaminya dalam kejadian berkenaan.
Pemergian Norhazwani pastinya meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga, khususnya abang yang sempat bertemu dan berbual dengannya beberapa jam sebelum kejadian.
Sumber: Bernama
