Legenda Dikir Barat Kelantan, Jen Endoro Meninggal Dunia Pada Usia 66 Tahun

Dunia seni dikir barat Kelantan kehilangan seorang lagi tokoh besar apabila penyanyi dan tukang karut terkenal, Jen Endoro meninggal dunia pada usia 66 tahun, pagi Selasa.

Allahyarham yang nama sebenarnya Mohammad Zain Ismail menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 pagi di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, akibat luka dalaman di bahagian perut.

Anak sulungnya, Nur Farahin Mohammad Zin, 33, berkata bapanya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak minggu lalu selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

Menurutnya, Allahyarham sudah terlantar akibat penyakit angin ahmar sejak lima tahun lalu.

"Ayah akan menyambut ulang tahun kelahirannya pada 26 November ini," katanya ketika dihubungi.

Mula berkecimpung dalam dikir barat sejak usia 11 tahun

Nama Jen Endoro bukan asing dalam kalangan peminat seni dikir barat, khususnya di Kelantan.

Perjalanan seninya bermula ketika berusia seawal 11 tahun apabila beliau membantu membawa alat muzik sebelum mengembangkan bakat sehingga bergelar tok jogho dan akhirnya dikenali sebagai tukang karut tersohor.

Sepanjang penglibatannya, Allahyarham berjaya menghasilkan 11 album dan sembilan cakera padat video (VCD) dikir barat.

Antara lagu popular yang pernah dinyanyikannya termasuk Endoro, Mariani dan Bakpo Tok Royak Demo Bini Ore.

Diiktiraf sebagai Ikon Legenda Dikir Barat

Sumbangan besar Jen Endoro dalam memartabatkan seni warisan Kelantan turut mendapat pengiktirafan apabila beliau dinobatkan sebagai Tukang Karut Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Citrawarna pada 2001.

Pada 2022, Allahyarham sekali lagi menerima penghormatan apabila diiktiraf sebagai Ikon Legenda Dikir Barat pada Malam Himpunan Dikir Barat di Kota Bharu.

Pengiktirafan itu diberikan oleh Kerajaan Kelantan sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangannya dalam seni berkenaan.

Sepanjang kariernya, beliau juga pernah membuat persembahan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri serta pembesar dari luar negara.

Jen Endoro meninggalkan lima orang anak. Isterinya yang turut menghidap angin ahmar pula meninggal dunia pada Mei lalu.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Guru, Pulau Melaka, selepas solat Zohor.

Pemergian beliau pastinya meninggalkan kesan besar kepada dunia dikir barat Kelantan, khususnya dalam kalangan peminat yang membesar dengan lagu-lagu dan persembahannya.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!