JPJ Beri Amaran, Tarik Sokongan Program RXZ Jika Kesalahan Berulang

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran mungkin tidak lagi menyokong penganjuran program RXZ sekiranya tindakan segelintir peserta yang didakwa menunggang secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya terus berulang.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mengambil maklum rungutan orang ramai terhadap sikap segelintir peserta RXZ Members 8.0.

Menurut beliau, pengguna jalan raya dan orang awam di beberapa negeri mula menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pihak berkuasa selepas peserta program itu didakwa menyebabkan kesesakan lalu lintas serta mengabaikan aspek keselamatan.

“Mereka mengatakan jalan raya sesak dan peserta berada di atas jalan raya dalam keadaan tidak selamat, memandu secara melulu serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“JPJ menjaga kepentingan awam, bukan kepentingan peserta dan bukan kepentingan penganjur.

“Jadi kalau ada tindakan-tindakan yang membahayakan orang awam, kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah pada Ahad.

Penganjur Akan Dipanggil

Aedy Fadly berkata, JPJ akan meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan susulan rungutan berkenaan.

Penganjur program permotoran juga akan dipanggil menghadiri sesi libat urus untuk diberikan peringatan tegas mengenai pematuhan undang-undang jalan raya.

“Selepas ini, sekiranya masih berlaku perkara sama, kita tidak akan menyokong program ini untuk diadakan lagi.

“Kita mahu memastikan peserta berhemah di jalan raya dan pengguna jalan raya yang lain tidak marah kepada peserta-peserta,” katanya.

Menurut beliau, setiap penganjuran program perhimpunan motosikal termasuk himpunan RXZ lazimnya mendapatkan pandangan dan nasihat daripada JPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dilaksanakan.

Penganjur turut diberikan peringatan supaya memastikan semua peserta mematuhi peraturan jalan raya serta menggunakan motosikal yang selamat dan menepati spesifikasi teknikal ditetapkan.

Tindakan Tanpa Kompromi

Aedy Fadly menjelaskan bahawa JPJ tidak pernah menghalang sebarang program permotoran selagi penganjur dan peserta mematuhi semua peraturan.

“JPJ tidak pernah menghalang penganjuran program permotoran selagi ia mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.

“Mana-mana peserta yang tidak patuh, termasuk mengubah suai kenderaan secara tidak mengikut spesifikasi akan dikenakan tindakan tanpa kompromi yang mana itu kita telah mulakan.

“Saya ingin ingatkan kepada peserta program-program permotoran akan datang supaya mematuhi peraturan jalan raya dan jangan sesekali membahayakan pengguna jalan raya lain,” tegas beliau.

Mengulas mengenai kemalangan yang membabitkan peserta program RXZ, beliau berkata, siasatan akan dijalankan oleh pihak polis terlebih dahulu.

JPJ kemudian akan meneliti hasil siasatan berkenaan bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.

Sumber: Astro Awani

TERKINI

Negeri Ini Rupanya Mempunyai Sekolah Pondok Berdaftar Terbanyak Di Malaysia
|
Jika ditanya negeri manakah mempunyai sekolah pondok paling banyak…
JPJ Beri Amaran, Tarik Sokongan Program RXZ Jika Kesalahan Berulang
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran mungkin tidak lagi…
Suami Isteri Warga Tempatan Ditahan, Jadikan Rumah Lokasi Transit PATI Di Pasir Puteh
|
Sebuah rumah kampung di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh…
Warga Emas Maut, Empat Cedera dalam Nahas Dua Kereta di Ketereh
|
Seorang wanita warga emas maut manakala empat lagi cedera…
KRW Perkenal Jersi Rasmi bagi Musim Liga Super 2026/2027
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW) secara rasmi memperkenalkan jersi…
[VIDEO] KRW Bangkit Dua Kali Ikat Melaka FC 2-2 di Kota Bharu
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW) dua kali bangkit daripada…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!