Selepas hampir sebulan kejadian yang menggemparkan penduduk Palekbang, Tumpat, polis kini menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes rogol dan samun terhadap seorang remaja perempuan.
Lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sebagai mekanik itu direman selama tujuh hari selepas perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Tumpat.
BERKAITAN: Remaja 15 Tahun Disamun, Dirogol Ketika Joging Bersama Adik Di Palekbang
Direman Bantu Siasatan
Reman tersebut membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol serta Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun sehingga menyebabkan kecederaan.
Mangsa Diserang Ketika Beriadah
Dalam kejadian pada pagi 17 Jun lalu, mangsa yang sedang beriadah dipercayai diserang seorang lelaki tidak dikenali.
Mangsa dipukul menggunakan sebatang kayu sebelum dirogol dan disamun.
Remaja itu kemudiannya ditemui dalam keadaan separuh sedar di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Mesira, Palekbang dengan kecederaan pada muka, kepala dan badan.
Mangsa menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, selain turut diberikan rawatan psikologi.
Siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan oleh pihak polis.
BERKAITAN: Remaja 15 Tahun Dipukul Dengan Kayu Sebelum Dirogol Dan Di Samun Di Tumpat
Sumber: Berita Harian
