Amerika Syarikat (AS) akan menyumbang RM1 juta bagi projek restorasi Tugu Negara sebagai hadiah kepada Malaysia sempena sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan negara yang ke-70 pada tahun depan.
Kuasa Usaha Kedutaan AS, David H. Gamble Jr. berkata, sumbangan daripada kerajaan dan rakyat Amerika itu mencerminkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Kongsi Sejarah Yang Sama
Menurut Gamble, Tugu Negara mempunyai persamaan dengan monumen Iwo Jima Memorial di Washington, D.C. kerana kedua-duanya direka oleh pengukir yang sama.
“Memandangkan terdapat persamaan yang ketara dan bagaimana kedua-dua monumen ini mengikat hubungan negara kita, kami telah merujuk perkara ini beberapa bulan lepas dan berjaya mendapatkan kelulusan untuk menyalurkan RM1 juta kepada Malaysia bagi pihak rakyat Amerika.
Ini bagi memastikan Tugu Negara bersedia untuk sambutan ulang tahun besar anda pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Resepsi Freedom 250 - Meraikan 250 Tahun Kemerdekaan Amerika di Kuala Lumpur.
Majlis sambutan Hari Kemerdekaan yang dihoskan Kedutaan AS itu menghimpunkan pemimpin kerajaan dan perniagaan Malaysia, rakan diplomatik, wakil masyarakat sivil, alumni serta rakan-rakan Amerika bagi meraikan 250 tahun kemerdekaan negara itu serta hubungan erat Malaysia-AS.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut hadir sebagai tetamu kehormat.
Restorasi Dikendalikan Malaysia
Gamble berkata, kerja-kerja restorasi akan dilaksanakan oleh pihak Malaysia dan telah diselaraskan dengan kerajaan bagi memastikan sumbangan itu memenuhi keperluan projek pemulihan Tugu Negara.
Beliau turut menyifatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS kini berada pada tahap yang amat dinamik dan berkembang pesat.
"Ia bermula sebelum Presiden (Donald Trump) datang ke sini, malah sejak itu, semua peluang baharu ini terus terbuka untuk Malaysia dan Amerika Syarikat, saling memberi manfaat antara satu sama lain,” katanya.
Hubungan Ekonomi Terus Kukuh
Mengulas hubungan ekonomi, Gamble berkata syarikat-syarikat Amerika telah beroperasi di Malaysia selama lebih satu abad dan kerjasama itu berkembang dengan ketara dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini.
Katanya, AS kekal sebagai antara rakan dagang terbesar Malaysia, manakala syarikat Amerika di negara ini telah membantu menjana pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan kira-kira 300,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Apabila anda melihat syarikat Amerika yang beroperasi di sini, tiada ribuan pekerja asing di sana. Ia dipenuhi oleh rakyat Malaysia, dan sememangnya begitulah sepatutnya. Kami membawa sesuatu ke sini supaya ia menjadi perkongsian tulen yang memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak. Kami bukan di sini untuk menguasai keadaan. Kami di sini untuk menjadi rakan kongsi Malaysia,” katanya.
Pada majlis itu turut berlangsung tayangan perdana video muzik yang menggabungkan lagu patriotik "America the Beautiful" dan "Tanah Pusaka", bagi meraikan semangat patriotisme serta persahabatan yang telah lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara.
Sumber: Bernama
