Di sebalik sebuah bangsal di Kampung Haji Wan Omar, Semerak, tersembunyi satu bungkusan di bawah sekeping zink yang pada awalnya mungkin tidak menarik perhatian sesiapa.
Namun, hasil pemeriksaan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa akhirnya membongkar 600 biji pil kuda yang dipercayai mahu diedarkan kepada nelayan dan penduduk sekitar Tok Bali.
Helah Tidak Bertahan Lama
Seorang lelaki berusia 31 tahun yang ditahan dalam Op Taring Wawasan pada mulanya menafikan mengetahui kewujudan dadah tersebut.
Namun selepas siasatan lanjut dijalankan, dia akhirnya mengaku bungkusan berisi pil kuda bernilai kira-kira RM6,000 itu adalah miliknya.
“Suspek pada awalnya tidak mengetahui mengenai kewujudan kesemua dadah yang bernilai RM6,000 itu. Selepas siasatan lanjut dijalankan, suspek akhirnya mengaku dadah tersebut adalah miliknya.
“Suspek juga mengaku terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak hampir tiga tahun lalu bersama rakannya yang dikenali dengan panggilan Napi,” kata Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain.
Sasaran Sekitar Tok Bali
Hasil siasatan turut mendapati suspek merancang untuk mengedarkan pil kuda itu kepada nelayan dan penduduk di sekitar Tok Bali.
Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai rangkaian pembekalan dadah tersebut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Kosmo
