Sepasang suami isteri terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Mokhtar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Pasangan berkenaan ialah Syed Mohamad Haizat Syed Hassan, 32, dan isterinya, Nurul Syahira Zakaria, 30.
Mereka sebelum ini didakwa bersama-sama mengedar 81.77 gram methamphetamine kira-kira jam 11 pagi pada 20 Mac 2022 di sebuah rumah tanpa nombor di Batu 19, Jalan Bachok, Kampung Badak, Bachok.
DNA Dan Cap Jari Tidak Kaitkan Pasangan
Dalam penghakimannya, Azhar berkata mahkamah antara lain mengambil kira akses ke rumah kedua-dua tertuduh yang boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja melalui pintu dan lubang-lubang di bahagian atas, selain dapur kediaman berkenaan.
Beliau turut berkata hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap jaket yang melindungi bungkusan dadah serta ujian cap jari pada bungkusan berkenaan tidak mengaitkan kedua-dua tertuduh dengan dadah yang ditemukan dalam raga motosikal Honda C70 di dapur rumah itu.
Ketika prosiding, mahkamah turut dimaklumkan terdapat tiga pekerja sebuah premis membasuh kenderaan berhampiran yang sering menggunakan tandas di rumah pasangan berkenaan.
Ketiga-tiga individu itu dikatakan turut ditahan polis sebelum pasangan suami isteri berkenaan, namun kemudiannya dibebaskan.
Didakwa Mengikut Seksyen 39B
Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, pertuduhan berkenaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 kali jika hukuman mati tidak dijatuhkan.
Bagaimanapun, selepas meneliti kes pendakwaan, Mahkamah Tinggi mendapati kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh tidak berjaya dibuktikan.
Syed Mohamad Haizat dan Nurul Syahira kemudian dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan.
Syed Mohamad Haizat diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad, manakala Nurul Syahira diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Mohd Zubairi Salleh.
Sumber: Bernama
