Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menegaskan etnik Rohingya tidak layak memiliki lesen memandu Malaysia kerana status mereka sebagai pelarian dan bukannya warganegara atau pemegang dokumen pengenalan diri yang diiktiraf negara.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dimiliki golongan itu tidak boleh digunakan sebagai dokumen rasmi untuk memohon lesen memandu.
Menurut beliau, setakat ini pihaknya tidak pernah mengesan mana-mana warga Rohingya yang memiliki lesen memandu sah sepanjang operasi penguatkuasaan dijalankan.
Katanya, kebanyakan mereka yang ditahan ketika sekatan jalan raya akan mengemukakan kad UNHCR sebagai alasan atau bagi meraih simpati untuk mengelakkan tindakan undang-undang.
Tiada Sindiket Dikesan
Mohd Misuari turut menafikan dakwaan wujud sindiket yang membantu warga asing, khususnya etnik Rohingya, mendapatkan lesen memandu secara sah di Kelantan.
Menurutnya, hasil risikan yang dijalankan tidak menemukan sebarang bukti mengenai kewujudan sindiket sedemikian setakat ini.
457 Kenderaan Disita
Bagi membendung isu pemanduan tanpa lesen dalam kalangan warga asing, JPJ Kelantan mempergiat operasi penguatkuasaan di beberapa lokasi tumpuan termasuk sekitar Kota Bharu, Ketereh, Melor, Pasir Tumboh dan Tanah Merah.
Sehingga bulan ini, sebanyak 576 kenderaan yang dipandu warga asing telah diperiksa, dengan 457 daripadanya disita manakala 908 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
JPJ juga memberi amaran kepada warga tempatan supaya tidak menyewakan atau membenarkan kenderaan mereka digunakan oleh warga Rohingya yang tidak mempunyai lesen memandu sah.
Pemilik Kenderaan Boleh Didakwa
Menurut Mohd Misuari, pemilik kenderaan yang didapati membenarkan individu tanpa lesen menggunakan kenderaan mereka bukan sahaja berdepan kompaun, malah boleh dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, Kelantan kini antara negeri terawal yang mengambil pendekatan membawa pemilik kenderaan terus ke mahkamah bagi memperkukuhkan penguatkuasaan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Sebelum ini, kira-kira 85 peratus warga asing yang diambil tindakan dalam Operasi Pemandu Warga Asing di Kelantan sejak Januari hingga 18 Jun lalu terdiri daripada etnik Rohingya.
Sumber: Harian Metro
SHARE
