Kegiatan membekalkan air ketum kepada nelayan dan awak-awak kapal di Pelabuhan Tok Bali, Pasir Puteh terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 105 liter minuman itu dalam satu serbuan pada Selasa.
Dalam operasi berkenaan, dua lelaki berusia 23 dan 45 tahun turut ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan air ketum di kawasan pelabuhan tersebut.
Cuba Lari Ketika Diserbu
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 2.30 petang hasil risikan dan pemantauan anggota Risik Batalion 8 PGA dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.
Menurut beliau, anggota menyerbu sebuah Perodua Viva yang berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan bangunan pelabuhan.
“Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan,” katanya.
70 Bungkusan Air Ketum Dirampas
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang telah diubah suai itu menemukan 70 bungkusan air ketum dengan jumlah isipadu 105 liter.
Polis percaya bekalan tersebut disediakan untuk dijual kepada nelayan dan awak-awak kapal yang berlabuh di Pelabuhan Tok Bali.
Selain air ketum, pihak berkuasa turut merampas wang tunai RM800, sebuah kereta, beg duit dan beberapa barangan lain dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM14,300.
Aktif Sejak Setahun Lalu
Menurut Ahmad Radzi, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kegiatan penjualan air ketum sejak kira-kira setahun lalu.
Beliau berkata, suspek berusia 23 tahun dipercayai mendapatkan bekalan air ketum pada harga RM6 setiap bungkusan daripada seorang pembekal tempatan sebelum menjualnya semula kepada pelanggan di kawasan pelabuhan.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 45 tahun positif methamphetamine manakala seorang lagi negatif dadah.
Tambah beliau, kedua-dua suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala seorang daripada suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
