Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak tahun 2019 selepas meninggalkan kediaman keluarganya di Johor Bahru akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah rumah di Taman Helang Perdana, Kuah, Langkawi pada malam Selasa.
Wanita berusia 21 tahun itu ditemui hasil pemeriksaan yang dijalankan polis kira-kira jam 11 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, hasil pemeriksaan mendapati wanita tersebut tinggal di rumah berkenaan bersama seorang anak.
Menurut beliau, semakan lanjut melalui rekod orang hilang mendapati wanita itu masih tersenarai sebagai individu hilang susulan laporan polis yang dibuat di Majidee, Johor pada tahun 2019.
“Wanita berkenaan mengaku keluar meninggalkan rumah keluarganya di Johor Bahru sebelum menetap di Langkawi.
“Wanita itu juga mendakwa telah berkahwin dengan seorang warga asing, namun suaminya tiada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Keluarga Telah Dimaklumkan
Samsulmuddin berkata, pihak polis telah memaklumkan penemuan wanita berkenaan kepada ahli keluarganya.
Penemuan tersebut sekali gus menamatkan misteri kehilangan yang berlarutan selama beberapa tahun sejak laporan orang hilang dibuat.
Kisah wanita berkenaan turut menjadi perhatian ramai selepas tular di media sosial pada Rabu.
Bagaimanapun, pihak polis tidak mendedahkan maklumat lanjut berkaitan identiti wanita itu atau status perkahwinannya.
Sumber: Bernama
SHARE:
