Pernah Juarai Liga Oman, Sandi Sahman Kini Jurulatih Kecergasan KRW

Kelantan Red Warrior FC (KRW) secara rasmi membawa masuk jurulatih kecergasan dari Jerman, Sandi Sahman bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2026/27.

Pelantikan tersebut diumumkan menerusi laman rasmi KRW sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh barisan kejurulatihan pasukan.

Sebelum beralih ke bidang kejurulatihan, Sahman merupakan pemain bola sepak yang beraksi di posisi tengah menyerang.

Anak kelahiran Hamburg itu pernah beraksi bersama beberapa kelab di Jerman dan Iran sebelum bersara pada 30 Jun 2017. Kelab terakhirnya ialah Esteghlal Ahvaz dari Iran.

Memulakan Kerjaya Kejurulatihan di Nanjing City

Berdasarkan rekod Transfermarkt, Sahman memulakan kerjaya profesional dalam barisan kejurulatihan bersama Nanjing City FC pada Januari 2018.

Beliau berkhidmat sebagai jurulatih kecergasan dan pakar pemakanan di kelab China itu sehingga Julai 2019.

Dalam tempoh berkenaan, Sahman turut menyertai Shanghai Shenhua sebagai penganalisis video pada Ogos 2018 sebelum diberikan peranan sebagai jurulatih kecergasan pada September 2019.

Beliau terus bersama Shanghai Shenhua sehingga September 2022 sebelum meneruskan kerjaya bersama Mohammedan SC di Bangladesh.

Raih Kejuaraan Liga di Oman

Pada Julai 2024, Sahman meneruskan kerjayanya bersama Al-Seeb Club sebagai jurulatih kecergasan dan penganalisis video.

Beliau berada selama semusim bersama kelab berkenaan sebelum meninggalkan pasukan itu pada Jun 2025.

Dalam tempoh tersebut, Al-Seeb muncul juara Oman Professional League musim 2024/25, iaitu liga bola sepak tertinggi negara berkenaan.

Sandi Sahman ketika bersama pasukan Al Seeb memenangai kejuaran Liga Oman


Sahman kemudian berhijrah ke Kemboja dengan menyertai Visakha FC pada Jun 2025 sebagai jurulatih kecergasan dan pakar pemakanan.

Beberapa bulan kemudian, beliau turut dilantik sebagai penolong jurulatih pada Oktober 2025.

Selain memiliki pengalaman luas dalam aspek kecergasan, analisis prestasi dan pemakanan pemain, Sahman turut memiliki Lesen Kejurulatihan AFC A.

Kini, beliau bakal memulakan cabaran baharu bersama KRW sebagai jurulatih kecergasan bagi musim 2026/27.

Kehadirannya diharapkan mampu memberikan suntikan baharu kepada barisan kejurulatihan sedia ada, khususnya dalam membantu pemain mencapai tahap kecergasan dan prestasi terbaik sepanjang saingan Liga Super.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!