Seorang lelaki berusia 35 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar belakang sebuah lori di Jejambat Wakaf Bharu, Tumpat, kira-kira jam 5 petang semalam.
Lori berkenaan dipercayai diparkir dan ditinggalkan di bahu jalan selepas kehabisan minyak.
Menurut laporan Berita Harian, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Kota Bharu menuju ke Pengkalan Kubor ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa melalui selekoh di jejambat berkenaan.
“Apabila sampai di lokasi dan semasa sedang bergerak melalui selekoh Jalan Flyover Wakaf Bharu, mangsa dipercayai terlanggar belakang sebelah kanan sebuah lori yang ditinggalkan dalam keadaan parkir di bahu kiri jalan disebabkan kehabisan minyak.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian dada disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan punca kematian disebabkan oleh ‘Mutiple Fatal injury due to motor vehicle accident’ yang disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Tumpat,” katanya dalam kenyataan media.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Polis Daerah Tumpat di talian 09-7257222 atau hadir ke Pejabat Trafik IPD.
Sumber: Berita Harian
