Seorang wanita dan bekas suaminya direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes menanam janin dipercayai berusia lima bulan di tepi sebuah rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang, Kuala Krai.
Menurut laporan Utusan, wanita berusia 30 tahun dan bekas suaminya yang berusia 32 tahun ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai kira-kira jam 10.30 malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Mohd. Maizan Mustafa berkata, tindakan itu diambil selepas lelaki berkenaan membuat laporan polis kira-kira jam 11 pagi pada hari sama mengenai perbuatan yang didakwa dilakukan bekas isterinya.
Lelaki terbabit bekerja sebagai buruh binaan.
Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai menggugurkan kandungan berusia lima bulan sebelum menanam janin berkenaan di tepi sebuah rumah kira-kira dua tahun lalu.
“Pasangan itu mempunyai tiga anak dan mereka sudah berpisah. Wanita tersebut dikatakan mempunyai kekasih selepas bercerai dengan bekas suaminya.
“Hasil perhubungan dengan teman lelakinya, wanita itu dipercayai hamil lima bulan sebelum bertindak menggugurkan kandungannya bagi mengelakkan keluarganya tahu mengenai perkara tersebut,” katanya.
Laporan Dibuat Selepas Perselisihan Faham
Mohd. Maizan berkata, lelaki berkenaan dipercayai tampil membuat laporan polis mengenai perbuatan bekas isterinya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka selepas bercerai.
Wanita terbabit pula dikatakan baru tiga hari berkahwin dengan teman lelakinya.
Kedua-dua individu itu tiba secara berasingan di pekarangan Mahkamah Majistret Pasir Puteh kira-kira jam 8.50 pagi dengan menaiki dua kenderaan polis bagi prosiding permohonan reman.
Majistret Nik Mohd. Fadhli Nik Azlan kemudian membenarkan mereka direman selama empat hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.
Sumber: Utusan
