Kegagalan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 akhirnya terubat buat atlet lompat tinggi Kelantan, Dzul Darwisy Adam Khairulaswari, apabila berjaya meraih pingat emas pada SUKMA Selangor 2026, hari ini.
Beraksi di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), atlet berusia 18 tahun itu melakukan lompatan setinggi 2.09 meter untuk muncul juara.
Lebih membanggakan, Dzul Darwisy mencapai kejayaan tersebut meskipun terpaksa beraksi dalam keadaan mengalami kesakitan belakang.
Kejayaan itu memastikan lagu Selamat Sultan berkumandang di venue pertandingan, sekali gus menghadiahkan satu lagi pingat emas buat Kontinjen Kelantan.
Pingat tersebut cukup bermakna buat Dzul Darwisy selepas dia melalui pengalaman mengecewakan pada SUKMA Sarawak 2024.
Ketika temasya dua tahun lalu, dia sekadar menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot.
Namun, Dzul Darwisy bangkit memperbaiki prestasinya dan membuktikan kemampuan dengan muncul sebagai juara lompat tinggi di Selangor.
Daripada kedudukan kedua tercorot pada 2024 kepada pemenang pingat emas pada 2026, kejayaannya menjadi bukti semangat untuk bangkit selepas berdepan kegagalan.
Sumber: HDsports.my
