Mudir Madrasah Yusufiah Pondok Banggol Naim Gelang Mas, Pasir Mas, Tuan Guru Haji Awang Yusuf, 77, dinobatkan sebagai Tokoh Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1448 Hijrah dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, malam tadi.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.
Sebagai penerima anugerah tertinggi tersebut, beliau menerima wang tunai RM10,000, plak serta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan Islam serta pembangunan masyarakat.
Menuntut Ilmu Sejak Usia 10 Tahun
Tuan Guru Haji Awang Yusuf dilahirkan di Kampung Gelang Mas, Pasir Mas dan mula menuntut ilmu agama seawal usia 10 tahun di Madrasah Ahmadiah, Pondok Kampung Apa-Apa sebelum meneruskan pengajian di Madrasah Al-Bakriyah, Pondok Pasir Tumboh.
Kesungguhan beliau dalam mendalami ilmu agama membolehkan beliau menimba pelbagai cabang ilmu di bawah bimbingan tokoh-tokoh ulama terkenal Kelantan sebelum mengabdikan diri dalam bidang dakwah dan pendidikan.
Beliau juga mendirikan rumah tangga bersama Hasanah Hassan yang sentiasa menjadi pendamping serta penyokong kuat sepanjang perjuangannya dalam memperkasakan pendidikan Islam.
Mengasaskan Madrasah Al-Yusufiyah
Ketokohan beliau mula terserlah apabila diberi kepercayaan menggantikan gurunya untuk menyampaikan ilmu agama di Pondok Pasir Tumboh ketika masih menuntut di sana.
Hasil keyakinan dan sokongan para guru terhadap kemampuan beliau, Madrasah Ad-Diniyyah Al-Yusufiyah diasaskan pada tahun 1987 ketika beliau berusia 38 tahun.
Institusi tersebut kemudiannya berkembang menjadi antara pusat pendidikan pondok yang terus memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu serta memperkukuhkan syiar Islam di negeri ini.
Terus Berbakti Dalam Pendidikan Pondok
Selain memimpin institusi pondok, beliau turut diberi amanah sebagai Timbalan Pengerusi Pusat Pengajian Pondok Kelantan sejak tahun 2015 hingga kini.
Peranan itu membolehkan beliau membantu memperkukuhkan jaringan institusi pondok serta memperkasakan sistem pendidikan Islam di Kelantan.
Sebelum ini, beliau turut menerima Anugerah Tok Guru Pondok 1438H sempena Himpunan Pendidik Islam 2017 sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangannya.
Pemilihan beliau sebagai Tokoh Hijratul Rasul Kelantan 1448H dilihat sebagai penghargaan terhadap pengorbanan, keikhlasan dan komitmen berterusan beliau dalam memartabatkan agama Islam, mendidik masyarakat serta membangunkan institusi pendidikan Islam di negeri ini.
Pada majlis sama, turut disampaikan beberapa anugerah lain termasuk Anugerah Tokoh Usahawan Daei, Anugerah Tokoh Saudara Kita, Anugerah Jajahan Cemerlang, Anugerah Pondok Harapan, Anugerah Pondok Kreatif, Anugerah Tanah Perkuburan Islam Terbaik serta anugerah kepada sekolah dan pelajar terbaik daripada Yayasan Islam Kelantan dan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Kelantan.
Sumber: inforakyatkelantan.my
SHARE:
