Cubaan pertama dua lelaki untuk menyeludup masuk minuman keras dari Thailand berakhir dengan penahanan apabila mereka dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama sebuah Toyota Hilux yang sarat dengan pelbagai jenis arak dan bir bernilai RM103,500.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Selasa, kedua-dua suspek berusia 23 dan 33 tahun ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka diperiksa di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota bertugas menahan pikap berwarna hitam yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut.
Disorok Di Bahagian Tempat Duduk Belakang
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sejumlah minuman keras dipercayai diseludup dari Thailand dan disembunyikan di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
"Hasil pemeriksaan menemukan lima karton mengandungi 120 tin bir selain beberapa kotak minuman keras pelbagai jenama dan perisa.
"Dua lelaki tempatan yang berada dalam kenderaan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Dakwa Untuk Majlis Perkahwinan
Ahmad Radzi berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku mendapatkan bekalan minuman keras berkenaan dari Thailand sebelum membawanya masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di sekitar Kampung Kedap.
Menurutnya, suspek mendakwa itu merupakan kali pertama mereka mengambil dan membawa masuk bekalan arak dari negara jiran.
Malah, mereka turut mendakwa minuman keras tersebut bukan untuk tujuan jualan sebaliknya digunakan bagi sebuah majlis perkahwinan yang dijadual berlangsung di Wakaf Bharu, Tumpat pada minggu hadapan.
Faktor Harga Jadi Tarikan
Beliau berkata, perbezaan harga yang ketara antara Thailand dan Malaysia dipercayai menjadi antara faktor yang mendorong kegiatan tersebut.
Menurut pengakuan suspek, satu karton minuman keras di Thailand boleh diperoleh pada harga sekitar 700 baht, manakala di pasaran gelap Malaysia nilainya boleh mencecah kira-kira RM200 sekotak.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
