Rupanya Ini Sebab Bendera Arab Saudi Tidak Pernah Diletakkan Di Atas Padang Piala Dunia

Setiap kali aksi Piala Dunia 2026 berlangsung, perhatian peminat bukan hanya tertumpu kepada aksi para pemain di atas padang, malah turut terarah kepada upacara pembukaan perlawanan yang diperkenalkan FIFA pada kejohanan kali ini.

Buat pertama kali dalam sejarah kejohanan, setiap perlawanan dimulakan dengan pembentangan bendera gergasi kedua-dua negara yang bertanding di atas padang, sebelum para pemain berdiri mengelilingi bulatan tengah untuk menyanyikan lagu kebangsaan masing-masing.

Namun di sebalik upacara yang penuh warna-warni itu, ramai peminat menyedari satu perkara unik setiap kali pasukan Arab Saudi beraksi.

Satu-Satunya Bendera Yang Tidak Dibentangkan Di Atas Padang

Ketika perlawanan Kumpulan H antara Arab Saudi dan Uruguay, bendera kedua-dua negara turut dibawa masuk ke tengah padang seperti biasa.

Bagaimanapun, berbeza dengan negara lain, bendera Arab Saudi tidak dibentangkan di atas rumput.

Sebaliknya, bendera itu dipegang dan diangkat oleh petugas supaya tidak menyentuh permukaan padang.

Malah, bagi memastikan kedua-dua bendera berada pada kedudukan yang sama semasa upacara berlangsung, bendera Uruguay turut diangkat bersama.

Situasi tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak dunia yang tertanya-tanya mengapa hanya bendera Arab Saudi menerima layanan berbeza.

Mengandungi Kalimah Syahadah

Rupanya, perkara itu bukanlah arahan khas daripada FIFA atau layanan istimewa kepada Arab Saudi.

Sebaliknya, ia berkait rapat dengan kandungan yang terdapat pada bendera negara berkenaan.

Bendera Arab Saudi memaparkan kalimah syahadah yang berbunyi:

"La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah" yang bermaksud "Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah."

Disebabkan kalimah suci itu tertera pada bendera negara tersebut, ia dianggap mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dan perlu dihormati pada tahap tertinggi.

Tidak Boleh Menyentuh Tanah Atau Air

Peraturan rasmi Arab Saudi menetapkan bahawa bendera negara itu tidak boleh diletakkan dalam keadaan yang boleh dianggap mencemarkan atau tidak menghormati simbol negara dan agama.

Antara larangan yang ditetapkan ialah bendera tersebut tidak boleh diturunkan sehingga menyentuh tanah, air atau mana-mana permukaan di bawahnya.

Selain itu, bendera yang sudah lusuh, pudar atau rosak juga tidak boleh dipamerkan kepada umum.

Mana-mana bendera yang tidak lagi sesuai digunakan perlu dilupuskan mengikut prosedur tertentu bagi memastikan ia tidak digunakan semula secara tidak wajar.

Tradisi Yang Akan Terus Dilihat Sepanjang Kejohanan

Disebabkan peraturan tersebut, setiap kali Arab Saudi beraksi di Piala Dunia 2026, peminat berkemungkinan akan terus melihat bendera negara itu dipegang atau diangkat sepanjang upacara sebelum sepak mula.


Langkah itu diambil bagi menghormati undang-undang negara serta nilai agama yang terkandung pada bendera berkenaan.

Arab Saudi Masih Memburu Kemenangan Pertama

Dalam aksi pertama Kumpulan H, Arab Saudi berjaya mengikat Uruguay 1-1.

Pasukan Asia Barat itu terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan pemain pertahanan Al Nassr, Abdulelah Al-Amri sebelum Uruguay menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan.

Selepas ini, Arab Saudi bakal berdepan Sepanyol sebelum menentang Cape Verde dalam usaha memburu kemenangan pertama dan slot ke pusingan seterusnya.

Sumber: Siakap Keli, Givemesport, Stadium Astro

TERKINI

KPDN Kelantan Gagalkan Cubaan Seludup Lebih 20 Tan Minyak Masak Ke Thailand
|
Cubaan menyeludup lebih 20 tan metrik minyak masak peket…
KRW FC Umum 23 Penaja Untuk Musim Liga Super 2026/2027
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memperkenalkan seramai 23…
12 Pasukan Bola Sepak Kelantan Yang Pernah Mewarnai Liga Malaysia
|
Kelantan pernah dikenali sebagai antara negeri yang paling kuat…
Anwar Lancar Avatar AI, Pelawa Rakyat Kongsi Pandangan Secara Terus Di WhatsApp
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia,…
Rumah Kedai Sedang Diubah Suai Runtuh, Hempap Dua Kenderaan Di Melaka
|
Suasana tenang di Taman Kota Laksamana, Melaka bertukar cemas…
KRW FC Hantar Dokumen Kepada FIFA, Yakin Sekatan Perpindahan Dapat Diselesaikan
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memaklumkan telah menghantar…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!