Dua anggota tentera dilaporkan maut dipercayai terkena letupan bom ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart di Gurun, Kedah pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan pihak polis menerima maklumat awal berhubung kejadian itu sekitar jam 12.30 tengah hari.
Menurut kenyataan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dipetik Bernama, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Koperal Norazmi Abu Bakar dan Prebet Siti Khadijah Sungip.
Mangsa yang pada awalnya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani kemudiannya dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mendedahkan butiran lanjut berhubung kejadian tersebut dan siasatan masih diteruskan.
Berdasarkan rekod, lokasi sama pernah mencatat dua tragedi letupan bom ketika latihan tentera sebelum ini, iaitu pada tahun 1987 dan 1988.
Dalam kejadian 1987, sembilan anggota tentera dari Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja terkorban akibat insiden yang dikaitkan dengan kecuaian semasa pengendalian bahan letupan tidak meletup.
Manakala pada tahun 1988, seorang anggota tentera dari Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja turut terkorban apabila bom lama yang tertanam dipercayai meletup ketika latihan sedang dijalankan.
Sumber: Astro Awani, Sinar Harian
SHARE:
