Taktik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kawasan hutan sebagai lokasi transit terbongkar selepas 12 warga Myanmar termasuk lima wanita ditahan di Kampung Tok Rusa, Meranti, Pasir Mas semalam.
Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 41 tahun itu ditahan oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan kira-kira jam 2.30 petang.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata operasi dijalankan hasil maklumat risikan sebelum anggota bertindak memeriksa kawasan hutan berkenaan.
“Pemeriksaan menemukan 12 individu warga Myanmar dalam keadaan mencurigakan dan mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Transit Dalam Hutan
Menurut beliau, kumpulan itu dipercayai memasuki Malaysia melalui Sungai Golok sebelum menjadikan kawasan hutan tersebut sebagai tempat transit sementara.
“Kawasan hutan berkenaan dipercayai digunakan sebagai lokasi transit sebelum mereka dibawa ke destinasi yang ditetapkan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Diserah Kepada Polis
Kesemua suspek kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kemasukan dan berada di Malaysia tanpa dokumen sah.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
