Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 13 ketulan mampat dadah jenis ganja dianggarkan seberat 11 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM33,000 di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Baru, Lubok Stol, Pasir Mas.
Rampasan tersebut dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan hasil kerjasama anggota Batalion 8 PGA dan Risik Briged Tenggara.
Pemerhatian Hampir 10 Jam
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, anggota bertugas melakukan pemerhatian di lokasi bermula jam 7 pagi.
Bagaimanapun, selepas hampir 10 jam pemantauan dijalankan, tiada sebarang pergerakan mencurigakan dikesan di kawasan tersebut.
Dadah Dipercayai Untuk Diambil Pihak Lain
"Anggota bertugas kemudian membuat pemeriksaan di sekitar kawasan ladang kelapa sawit dan menjumpai 13 ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 11kg dengan anggaran nilai RM33,000.
"Ia dipercayai ditinggalkan di situ untuk diambil oleh pihak lain," katanya dalam satu kenyataan.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.
Kawalan Sempadan Dipertingkat
Ahmad Radzi berkata, kawasan tersebut merupakan laluan utama orang awam dan pelbagai agensi penguat kuasa sempadan.
Menurutnya, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada pembolosan atau aktiviti penyeludupan berlaku di kawasan sempadan negara.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
