Pemilik salun dan kedai makan, Nur Ayu Fatihah Zaudi, 35, atau lebih dikenali sebagai Yuyu, sebenarnya tidak dibebaskan daripada pertuduhan kes mengedar dadah seperti yang diperkatakan netizen sejak kebelakangan ini.
Sebaliknya, wanita berkenaan hanya dilepaskan dengan jaminan pada minggu lalu selepas pertuduhan terhadapnya diturunkan kepada seksyen lain.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pendakwaan terhadap Nur Ayu Fatihah diturunkan daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada Seksyen 39A(1) akta sama semasa prosiding perbicaraan.
Pertuduhan Diturunkan Selepas Laporan Kimia
Menurut beliau, pertuduhan itu diturunkan berdasarkan laporan kimia serta berat dadah yang dirampas bersama wanita berkenaan.
“Kes tersebut masih dalam proses perbicaraan. Pendakwaan terhadap wanita itu dan seorang lagi suspek diturunkan kepada Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membolehkan mereka diikat jamin.
“Nur Ayu Fatihah dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 pada minggu lalu. Ikat jamin yang dibayar itu belum lagi menentukan sama ada dia bebas sepenuhnya daripada pertuduhan kes dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Suami Masih Didakwa Di Bawah Seksyen 39B
Mohd. Yusoff berkata, setakat ini Nur Ayu Fatihah dan seorang lagi suspek didakwa mengikut Seksyen 39A(1), manakala dua lagi suspek termasuk suami wanita itu masih kekal didakwa mengikut Seksyen 39B.
Menurutnya, selain laporan kimia, lokasi dan berat dadah yang dirampas bersama wanita tersebut turut menjadi faktor membolehkan pertuduhan diturunkan.
Polis Minta Netizen Tidak Keliru
Dalam masa sama, Mohd. Yusoff menasihatkan semua pihak termasuk netizen supaya tidak keliru dengan video-video tular berkaitan Yuyu yang dimuat naik di media sosial.
“Justeru, saya berharap semua pihak termasuk netizen tidak keliru dengan video-video berkaitan Nur Ayu Fatihah yang dimuat naik di media sosial.
“Dia tidak dilepaskan daripada pertuduhan itu (kes dadah) sebaliknya hanya dibebaskan dengan jaminan selepas seksyen bagi pendakwaan itu diturunkan,” katanya.
Akaun TikTok Cetus Tanda Tanya
Terdahulu, tular sebuah akaun TikTok menggunakan nama Miss Yuyu yang memuat naik enam video baharu memaparkan Nur Ayu Fatihah, sekali gus mencetuskan tanda tanya orang ramai kerana wanita itu sebelum ini didakwa berdepan pertuduhan berkaitan dadah.
Lima Suspek Pernah Didakwa Kes Pil Kuda
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan lima suspek termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas pada 10 Julai tahun lalu atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram dadah jenis pil kuda di tiga lokasi berasingan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh iaitu Mohd. Faizal Ismail, 35, isterinya Nur Ayu Fatihah, Mohamad Farid Ismail, 33, Mohd. Khairu Azani Mohd. Lawi, 39, dan Mohamad Asmawi Janudin, 25.
Mohd. Faizal merupakan abang kepada Mohamad Farid dan mereka berdua juga bapa saudara kepada Mohamad Asmawi.
Sumber: Kosmo
SHARE:
