Saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026 akhirnya melabuhkan tirai dengan penuh bergaya buat Kelantan Red Warrior FC (KRW) apabila menewaskan Bunga Raya FC 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kemenangan itu hadir menerusi jaringan Niam Mulhassan pada minit ke-45 dan Enmanuel Mbarga pada minit ke-73 selepas Bunga Raya FC terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi gol awal Aqil Hazwan seawal minit ketujuh.
Namun lebih manis daripada kemenangan itu adalah suasana luar biasa di stadium apabila seramai 10,087 penyokong membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV sekaligus mencatat sejarah sebagai kehadiran penyokong tertinggi sepanjang Liga A1 musim ini.
Ia bukan sekadar angka,
Ia adalah mesej jelas bahawa penyokong bola sepak Kelantan masih hidup, masih lapar dan masih mahu melihat kebangkitan sebenar bola sepak negeri ini.
Malah, kehadiran luar biasa itu juga boleh dianggap sebagai petanda bahawa semakin ramai penyokong mula menerima KRW sebagai satu-satunya “waris” kepada era The Red Warriors yang pernah menggegarkan bola sepak Malaysia suatu ketika dahulu.
KRW menamatkan musim di tangga keempat liga dengan 56 mata, hanya satu mata di belakang Kedah FA.
Peluang Ke Liga Super Masih Terbuka
Walaupun menamatkan saingan di tempat keempat, peluang KRW untuk beraksi di Liga Super musim 2026/2027 masih terbuka luas.
Ini kerana juara dan naib juara Liga A1 iaitu JDT II dan Selangor FC 2 merupakan pasukan feeder kepada kelab Liga Super dan secara automatik tidak layak untuk dinaikkan.
Dalam masa sama, status Kedah FA sebagai pasukan milik persatuan turut dikatakan perlu dinilai semula mengikut syarat penswastaan liga.
Menurut Presiden KRW, Datuk Muhamad Zaki Harun, pihak pengurusan sedang bekerja keras untuk menyediakan pasukan ke arah Liga Super musim depan.
Keseriusan itu jelas dapat dilihat apabila sejurus tamat perlawanan malam tadi, KRW terus melancarkan pas bermusim untuk musim depan dengan harga RM400 bagi tempat duduk terbuka dan RM500 bagi tempat duduk astaka.
Lihat pas bermusim KRW disini: https://seasonpass.kelantanredwarrior.com/
Bukan itu sahaja, kelab turut memperkenalkan inisiatif Revolusi Kebangkitan Bola Kelantan yang membuka peluang kepada penyokong menyumbang serendah RM5 demi membantu pembangunan pasukan.
Pemberian sumbangan dana KRW boleh dibuat disini: https://krw.bcl.my/form/revolusi
Langkah itu dilihat cukup baik kerana ia mampu mewujudkan rasa “sense of belonging” dalam kalangan penyokong terhadap kelab.
Jangan Ulang Kesilapan Lama
Namun jika benar KRW mahu ke Liga Super, ini bukan lagi soal hype atau penuh stadium semata-mata.
Liga Super adalah dunia bolasepak yang jauh lebih kejam.
Kelab bukan sahaja perlu bersedia untuk menang, tetapi juga bersedia untuk kalah, dikritik dan mungkin kehilangan kehadiran penyokong apabila prestasi merudum.
Apa yang paling penting, jangan ulang kesilapan pasukan-pasukan terdahulu yang bermula gah tetapi akhirnya runtuh akibat masalah pengurusan, tunggakan gaji, perancangan lemah dan keputusan tidak profesional.
Penyokong Kelantan sudah terlalu banyak melalui episod kecewa.
Mereka tidak mahu lagi melihat pasukan hidup “cukup-cukup makan” setiap musim.
Bola Sepak Moden Adalah Ekosistem
Jika KRW benar-benar serius mahu menjadi kelab besar, fokus tidak boleh hanya tertumpu kepada skuad utama semata-mata.
Bola sepak moden hari ini adalah sebuah ekosistem, dan KRW perlu menjadi ekosistem bolasepak di Kelantan bukan hanya menjadi kelab yang bersaing di Liga Super.
Kelab perlu membina akademi yang betul untuk melahirkan bakat muda Kelantan sendiri.
Perlu ada pembangunan fasiliti latihan yang berkualiti, padang latihan tetap, pusat sains sukan, pasukan pembangunan akar umbi, sistem pencarian bakat, pemasaran profesional, pengurusan media moden dan hubungan kuat dengan komuniti penyokong.
Budaya bola sepak juga perlu dibina semula.
Anak-anak muda perlu kembali dibiasakan dengan suasana stadium.
Sekolah, komuniti dan akademi perlu dihidupkan supaya bola sepak Kelantan tidak bergantung kepada “nama besar” atau pemain import semata-mata.
Kelab juga perlu belajar menjadikan bola sepak sebagai industri sebenar.
Bukan sekadar menjual tiket dan jersi, tetapi membina penajaan yang sihat, kandungan digital yang kuat, identiti kelab yang jelas serta sumber pendapatan jangka panjang.
KD percaya pengurusan KRW sedar tentang perkara ini.
Apa yang berlaku sekarang bukan sekadar kebangkitan sebuah pasukan bola sepak.
Tetapi mungkin permulaan kepada usaha menghidupkan semula maruah bola sepak Kelantan yang pernah menjadi antara kuasa besar negara suatu ketika dahulu.
Dan malam tadi, 10,087 penyokong itu sudah membuktikan satu perkara.
Kelantan sebenarnya belum mati.
SHARE:
