Ramai orang negeri lain boleh cuba bercakap loghat Kelantan, tetapi sebenarnya hampir semua percakapan itu kedengaran “tak kena” di telinga orang Kelantan.
Lebih menarik, walaupun ada yang sudah lama tinggal di Kelantan, bekerja di sini, malah berkahwin dengan orang Kelantan, masih ada yang tidak mampu mencapai loghat asli sepenuhnya. Orang Kelantan sendiri pula biasanya boleh terus kesan: “ni bukan orang sini.”
Persoalannya, kenapa loghat Kelantan begitu sukar untuk ditiru?
Bukan Sekadar Aksen, Tapi Sistem Bahasa Lengkap
Menurut kajian linguistik, dialek Kelantan bukan sekadar “cara sebutan lain”, tetapi satu sistem bahasa yang berbeza daripada Bahasa Melayu standard.
Kajian fonologi menunjukkan dialek Kelantan mempunyai struktur bunyi tersendiri, termasuk perubahan vokal, pengguguran konsonan tertentu, serta intonasi yang tidak sama dengan bahasa Melayu biasa. Ini menjadikan ia bukan sekadar “accent”, tetapi satu variasi bahasa yang kompleks.
Dalam erti kata lain, seseorang yang cuba meniru loghat Kelantan bukan sahaja perlu meniru bunyi, tetapi juga perlu meniru sistem linguistik yang membentuk bunyi tersebut.
Perbezaan Bunyi Yang Halus Tapi Kritikal
Dalam kajian fonetik, loghat Kelantan sangat kaya dengan variasi bunyi yang halus (phonetic variation), antaranya:
- - Perubahan vokal akhir perkataan
- - Pengguguran atau perubahan konsonan tertentu
- - Intonasi yang sangat spesifik
Kajian perbandingan dialek di Malaysia menunjukkan Kelantan mempunyai sistem bunyi yang unik dan berbeza jelas daripada dialek lain.
Sebab itu, walaupun seseorang cuba meniru dengan yakin, hasilnya sering kedengaran “hampir betul, tapi tidak tepat”.
Otak Dewasa Sukar Meniru Bunyi Baru
Dalam linguistik moden, ada konsep dipanggil “speech learning constraint” iaitu otak manusia lebih susah belajar bunyi baru selepas dewasa.
Jadi bila orang luar cuba tiru loghat Kelantan, mereka guna sistem bunyi Bahasa Melayu standard dan bukan sistem bunyi Kelantan
Hasilnya, walaupun seseorang cuba meniru loghat Kelantan, bunyi tetap kedengaran tidak "natural".
Loghat Kelantan Sebagai Identiti Sosial
Loghat Kelantan bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga identiti sosial yang sangat kuat dalam masyarakat.
Dalam sosiolinguistik, dialek seperti ini dikenali sebagai “identity marker”, iaitu penanda kepada asal-usul seseorang. Di Kelantan, loghat digunakan secara meluas dalam kehidupan harian, menjadikan ia sebati dengan cara berfikir dan berinteraksi masyarakat.
Apabila sesuatu dialek menjadi identiti yang kuat, ia bukan sahaja dipertuturkan, tetapi “dihidupkan” dalam komuniti. Ini menjadikannya lebih sukar untuk ditiru secara sempurna oleh orang luar.
Tinggal Lama Di Kelantan, Makan Budu, Bunyi Tetap Tak Sama
Ada anggapan bahawa sesiapa yang tinggal lama di Kelantan akan automatik boleh bercakap loghat Kelantan dengan baik. Namun kajian bahasa menunjukkan faktor pendedahan sahaja tidak mencukupi.
Untuk menguasai dialek secara asli, ia perlu dipelajari sejak kecil melalui proses natural acquisition, bukan sekadar pembelajaran harian. Ini kerana intonasi, ritma dan cara sebutan terbentuk secara tidak sedar pada usia awal kehidupan.
Sebab itu, walaupun seseorang tinggal bertahun-tahun di Kelantan, loghat asal mereka menyebabkan sukar meniru sebutan asli Kelantan.
Orang Kelantan Boleh ‘Detect’ Dengan Cepat
Penutur asli Kelantan mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap perbezaan loghat. Mereka boleh mengenal pasti sama ada seseorang itu orang Kelantan atau bukan hanya melalui beberapa perkataan sahaja.
Dalam linguistik, fenomena ini dikenali sebagai native speaker sensitivity iaitu keupayaan penutur asli mengesan perbezaan kecil seperti intonasi, panjang bunyi dan struktur ayat.
Sebab itu, walaupun bagi orang luar ia kedengaran “hampir sama” tetapi kedengaran pelik bagi orang Kelantan.
Loghat Kelantan sukar ditiru bukan kerana ia pelik atau terlalu rumit, tetapi kerana gabungan beberapa faktor: sistem bahasa yang unik, perbezaan fonetik yang halus, had pembelajaran bahasa dewasa, serta identiti sosial yang sangat kuat dalam komuniti.
Ia bukan sekadar cara bercakap, tetapi sebahagian daripada cara hidup masyarakat Kelantan itu sendiri. -KD
Rujukan: Inventori Vokal Dialek Melayu Kelantan: Satu Penilaian Semula, A comparative study between the Perlis and the Kelantan dialect in Malaysia at the phonetic level, Fonetik dan Fonologi
SHARE:
