KRW Perlahan-lahan Seru Jiwa Bola Penyokong Kelantan Yang ‘Sudah Mati’

Ada satu masa dahulu, bola sepak di Kelantan bukan sekadar sukan. Ia adalah kehidupan. Ia adalah topik di kedai kopi, jeritan di tepi jalan, doa sebelum perlawanan dan tangisan selepas wisel penamat.

Stadium menjadi tempat berkumpulnya jiwa-jiwa yang percaya bahawa maruah negeri ini boleh dipertahankan di atas padang hijau.

Suhairienor Photography is ART

Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu dibanjiri penyokong bolasepak Kelantan (Foto: Suhairienor Photography is ART)



Hari ini, suasana itu seolah-olah tinggal kenangan.

Bukan kerana orang Kelantan tidak cintakan bola sepak.

Tetapi kerana terlalu lama dikecewakan.
Terlalu kerap berharap.
Terlalu banyak luka yang belum sembuh.

Jiwa bola itu bukan mati. Ia cuma diam. Ia menunggu.

Dalam sunyi itulah, sebuah permulaan kecil lahir. Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK)

Walaupun cubaan untuk mendapatkan semula haluan bola sepak negeri ini tidak berjaya, GSK yang diterajui individu bernama Nik Hafiz Naim sedar bahawa sesuatu perlu dimulakan walaupun dari kosong.

Maka wujudlah Kelantan Red Warrior FC atau lebih dikenali sebagai KRW.

KRW tidak lahir dengan janji besar. Tidak juga dengan sokongan kewangan melimpah. Ia bermula sebagai sebuah pasukan yang sedar akan kekurangan diri.

Tetapi dalam masa yang singkat, satu perubahan penting berlaku apabila baton kepimpinan diserahkan kepada jenama tempatan yang cukup dekat dengan rakyat Kelantan, Nasken Coffee.

Di bawah jenama ini, KRW diterajui oleh seorang figura yang membawa imej ketegasan dan disiplin, iaitu bekas Ketua Polis Kelantan, Dato' Muhamad Zaki Harun, sebagai presiden.

Presiden KRW FC bertemu Menteri Besar Kelantan

Presiden KRW bersama Menteri Besar Kelantan dalam pertemuan baru-baru ini (Foto: KRW)



Pelantikan ini bukan sekadar nama besar. Ia memberi isyarat bahawa pasukan ini mahu bergerak dengan struktur dan prinsip.

Dari akar umbi, sokongan mula menyusul. Gerakan ultras bola sepak Kelantan, Gate H Boys turut berdiri teguh di belakang KRW. Sokongan ini bukan sekadar sorakan. Ia adalah simbol bahawa denyut nadi penyokong tegar masih wujud.

Gate H Boys GHB gerakan ultras di Kelantan

Gerakan ultras di Kelantan, Gate H Boys (Foto: Google Image)



Langkah demi langkah mula disusun dengan lebih teratur.

Barisan pengurusan dibentuk dengan individu yang dilihat tepat untuk fasa membina semula. Di padang, KRW mempercayakan pasukan kepada seorang jurulatih yang cukup masak dengan sepak terajang bola sepak tempatan, Irfan Bakti. Beliau bukan jurulatih yang menjual mimpi, tetapi seorang pembina pasukan yang memahami realiti.

615359346_122121070611028407_181590329392950580_n

Pasukan kejurulatihan dan pengurusan KRW meraikan jaringan ketika aksi menentang Selangor FC II (Foto: KRW)



Perubahan kecil mula memberi kesan.

Media kelab semakin konsisten menghasilkan kandungan yang kemas dan berjiwa. Grafik dan visual tampak lebih profesional dan menyenangkan mata. Pasukan pemasaran jelas dengan tugas mereka.

Papan iklan gergasi promo hari perlawanan Kelantan Red Warrior FC

Papan iklan gergasi promo hari perlawanan pasukan di sekitar Kota Bharu (Foto: KRW)



Pengurusan pula dilihat lebih matang dalam menjawab isu serta menangani cabaran dengan cara yang berhemah. Rakan rakan penaja mula hadir dengan keyakinan yang munasabah.

Di atas padang, keputusan perlawanan juga menunjukkan perkembangan positif, 10 perlawanan tanpa bolos bukan sembarang, penjaring terbanyak liga ketika ini dari pemain KRW, pasukan juga berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia dan menjadi antara pasukan yang berpeluang layak ke Liga Super musim depan.

Satu lagi perkara asas yang sering dilupakan dalam bola sepak Kelantan akhirnya diberi perhatian. Pusat latihan. Kontraktor berpengalaman telahpun dilantik dan satu pengumuman akan dibuat sedikit masa lagi, inilah simbol kesungguhan untuk membina dari asas.

padang matrik kok lanas

Pihak pengurusan KRW meninjau infrastruktur sukan di Kolej Matrikulasi Kok Lanas yang telah siap dibina oleh kontraktor sama yang dilantik untuk membangun pusat latihan KRW. (Foto: KRW)



KRW tidak memilih jalan mewah. Mereka tidak berlari. Mereka berjalan. Perlahan, tersusun dan penuh sedar akan kemampuan sendiri. Apa yang penting bagi mereka hanyalah satu perkara. Asas yang kukuh.

Setakat ini, hampir semua yang dilakukan KRW menunjukkan tanda yang positif.

Namun masih ada satu kekosongan yang besar.

Penyokong.

Jika dahulu, sesi latihan pun dipenuhi peminat. Perlawanan persahabatan boleh membuat stadium sesak. Hari ini, suasananya seolah-olah jiwa bola itu sudah mati. Penyokong kelihatan tidak bernafsu. Mungkin masih dalam fasa wait and see, atau mungkin masih takut untuk berharap.

Tetapi bola sepak tidak akan pernah hidup tanpa jiwa penyokongnya.

Hari ini, KRW bakal turun beraksi dalam saingan Piala Malaysia menentang pasukan Liga Super, DPMM FC, di stadium keramat Stadium Sultan Muhammad IV.

Perlawanan ini mungkin sukar. Lawan lebih berpengalaman. Lebih kuat di atas kertas. Tetapi kehadiran malam ini bukan tentang kemenangan semata-mata.

Ia tentang memberi nafas.
Ia tentang kebanggaan.
Ia tentang menunjukkan bahawa KRW tidak berjuang sendirian.

Yuh Ayuh, Ayuh Kelateku!
Malam ini, mungkin kita tidak menyanyi seperti dahulu.
Mungkin kita tidak ghairah seperti dulu.

Tetapi jika masih ada sedikit rindu.
Jika masih ada sedikit rasa memiliki.

Malam ini adalah masanya.

Bukan untuk meraikan kejayaan.
Tetapi untuk membangkitkan jiwa bola yang pernah menjadikan Kelantan disegani.

Kerana jiwa itu sebenarnya tidak pernah mati.
Ia cuma menunggu masa untuk diseru kembali.
-KD

Piala Malaysia: Kelantan Red Warrior FC vs Brunei DPMM FC
Malam ini (17/1/2026)

SHARE:

TERKINI

Pemangku Raja Kelantan Zahir Penghargaan Kepada PM, Puji Kerjasama Negeri Dan Persekutuan
|
Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menzahirkan setinggi-tinggi…
PGA Dedah Penyeludup Masih Berani Isi Petrol Berulang Kali
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) mendedahkan masih terdapat kenderaan digunakan…
Terima Upah RM70, Dua Lelaki Ditahan Bersama 13 Lembu Seludup Dari Thailand
|
Dua lelaki yang didakwa menerima upah RM70 untuk menghantar…
Rezeki Haji Sekeluarga, Isteri Simpan Hasil Toreh Getah Suami Jual Lembu Demi Ke Tanah Suci
|
Rezeki menunaikan haji tahun ini benar-benar menjadi kenangan paling…
Kutipan Zakat MAIK 2025 Cecah RM354.6 Juta, Tertinggi Dalam Sejarah Kelantan
|
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)…
Abang Ipar Upah RM15 Satu “Trip” Seludup Petrol Ke Thailand
|
Taktik licik penyeludup yang membuat pembelian petrol secara berulang…
Jawatan Kosong Kelantan