Kerajaan Kelantan memerlukan kira-kira RM1 bilion bagi menggantikan lebih 1,000 kilometer (km) paip lama di seluruh negeri dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, ketika ini terdapat kira-kira 4,000km paip uzur yang perlu diganti secara berperingkat.
SPAN Lulus 150km Setahun, Proses Ambil Masa Panjang
Menurut beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika ini hanya meluluskan penggantian sekitar 150km paip setahun, sekali gus menyebabkan proses penggantian mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan sepenuhnya.
“Kalau ikut kiraan mudah, 4,000km dibahagi 150km setahun, ia memang akan ambil masa bertahun-tahun lagi untuk disiapkan.
“Projek penggantian paip ini sebenarnya sudah bermula sejak 2016 dan selepas tempoh pandemik Covid-19, kita lihat banyak kemajuan dapat dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Loji Rawatan Air (LRA) Kelar 2 di Pasir Mas pada Khamis.
Mohon Kelulusan Ganti 1,035km Paip Bagi 2027-2031
Dr Izani berkata, bagi pelan perniagaan SPAN 2027 hingga 2031, kerajaan negeri memohon kelulusan untuk menggantikan kira-kira 1,035km paip di seluruh Kelantan.
Menurutnya, kos penggantian paip sangat tinggi iaitu dianggarkan sekitar RM1 juta bagi setiap satu kilometer.
“Maknanya kalau 1,000km, kosnya sudah mencecah RM1 bilion dan pembiayaan itu adalah pinjaman daripada SPAN yang perlu dibayar semula oleh Air Kelantan Sdn Bhd.
“Sebab itu kita berharap kadar penggantian paip dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada 200km setahun supaya masalah ini dapat diselesaikan lebih cepat,” katanya.
Isu Air Kelantan Disasar Selesai Menjelang 2030
Dalam pada itu, Dr Izani berkata kerajaan negeri meletakkan sasaran isu bekalan air di Kelantan akan dapat diselesaikan menjelang tahun 2030 apabila semua projek loji rawatan air dapat disiapkan sepenuhnya.
Katanya, apabila semua projek siap, kapasiti pengeluaran air di Kelantan dijangka meningkat kepada sekitar 830 hingga 850 juta liter sehari dan mampu menampung keperluan penduduk seluruh negeri.
Menurut beliau, ketika ini terdapat 43 loji rawatan air yang sedang beroperasi dan lebih 10 lagi loji termasuk sistem tubewell serta sumber air permukaan sungai sedang dibina atau dalam perancangan.
Selain itu, beberapa projek pembinaan loji rawatan air baharu juga dirancang bagi memastikan kapasiti pengeluaran air mencukupi untuk keperluan rakyat.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
