Kemodenan dunia hiburan hari ini tidak mematahkan semangat seorang pemuda berketurunan Tionghoa dari Kelantan untuk terus mempertahankan seni tradisional wayang kulit.
Kang Xiau Ren, 29, atau lebih mesra disapa Aaren Kang bukan sahaja aktif membuat persembahan wayang kulit malah kini menjadi pensyarah sambilan subjek tersebut di Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.
Bermula Sejak Usia 10 Tahun
Aaren yang berasal dari Kok Lanas berkata, minat terhadap wayang kulit mula bercambah sejak berusia 10 tahun kerana bapanya, Kang Boon Ann atau Che Ann, merupakan pembuat patung wayang kulit.
Menurutnya, seni itu menjadi hiburan keluarga terutama ketika menghadiri kenduri di kampung.
“Ayah jadi tok dalang, emak pemain gong, kakak bermain canang dan saya pula bermain geduk.
“Saya belajar juga bermain serunai dan keluarga saya kemudiannya menubuhkan persatuan wayang kulit diberi nama Sri Cindayu kerana terdiri daripada Cina, India dan Melayu,” katanya.
Kini, persatuan tersebut masih aktif menerima undangan persembahan termasuk bagi acara rasmi kerajaan serta bengkel seni tradisional.
Satu-Satunya Tok Dalang Bukan Melayu Generasi Baharu
Menurut Aaren, kebanyakan pemain wayang kulit di Kelantan terdiri daripada orang Melayu, namun dia berbangga kerana menjadi satu-satunya tok dalang bukan Melayu dalam kalangan generasi muda di negeri itu.
Katanya, ramai yang tidak percaya dia berbangsa Cina kerana fasih bermain wayang kulit dan pernah diminta menunjukkan kad pengenalan.
“Saya fasih berbahasa Mandarin dan mengaku saya orang Cina cuma bila tengok saya pandai main wayang kulit, ada yang tak percaya.
“Ia perkara biasa tapi saya terus main wayang kulit kerana seronok memandangkan ada elemen muzik yang boleh jadi terapi dan hilangkan tekanan,” katanya.
Pernah Buat Persembahan Di Amerika Syarikat
Aaren berkata, pengalaman paling manis sepanjang bergiat dalam seni wayang kulit ialah apabila diberi peluang membuat persembahan di luar negara.
Katanya, dia pernah mengadakan persembahan selama dua minggu di Washington, Amerika Syarikat selain membuat persembahan di Kemboja dan Thailand.
Menurutnya, penonton di luar negara turut tertarik dengan alunan muzik wayang kulit terutama bunyi serunai.
Mahu Sambung Pengajian Dan Tarik Anak Muda
Selain aktif membuat persembahan, Aaren juga sudah empat tahun menjadi tenaga pengajar wayang kulit di ASWARA selepas tamat pengajian.
Katanya, dia seronok melihat perkembangan pelajar yang pada awalnya tiada asas namun mampu menguasai seni tersebut selepas beberapa minggu.
Tambahnya, dia bercadang menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang wayang kulit dan mahu membawa pembaharuan dengan elemen kontemporari supaya lebih dekat dengan generasi muda.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
