Penduduk Tehran terjaga pada pagi Ahad dalam suasana luar biasa apabila langit ibu negara Iran itu diselubungi asap hitam tebal daripada depot minyak yang diserang Israel.
Keadaan itu menyebabkan cahaya matahari terlindung sepenuhnya sehingga suasana pagi kelihatan gelap seperti waktu malam.
Seorang pemandu berusia lingkungan 50-an berkata pada mulanya beliau menyangka jam penggeranya rosak apabila mendapati keadaan di luar masih gelap.
“Saya fikir jam penggera saya rosak,” katanya kepada AFP dengan syarat identitinya tidak didedahkan.
Sehingga jam 10.30 pagi waktu tempatan, kenderaan masih perlu menyalakan lampu hadapan ketika melalui Jalan Valiasr, laluan utama yang merentasi Tehran dari utara ke selatan.
Asap tebal itu dilaporkan merebak ke seluruh bandar yang dihuni lebih 10 juta penduduk.
Serangan ke atas depot bahan api tersebut merupakan kali pertama infrastruktur minyak Iran menjadi sasaran sejak konflik yang kini memasuki hari kesembilan.
Pertempuran tercetus selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran hujung minggu lalu, sekali gus mencetuskan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Tentera Israel mengesahkan serangan terhadap kemudahan penyimpanan bahan api di Tehran yang didakwa digunakan untuk menyokong infrastruktur ketenteraan.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya empat depot minyak serta sebuah tapak logistik petroleum di dalam dan sekitar Tehran telah terkena serangan.
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan enam orang terbunuh dan 20 lagi cedera di salah satu lokasi, namun angka tersebut belum dapat disahkan secara bebas.
Di salah sebuah depot yang terjejas, api masih marak dan mengeluarkan bunyi letupan kecil lebih 12 jam selepas serangan.
Pasukan keselamatan turut dilihat mengawal lalu lintas di beberapa kawasan sekitar sambil memakai pakaian perlindungan dan topeng keselamatan.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa asap beracun itu boleh menyebabkan masalah pernafasan dan kerengsaan mata, selain menggesa penduduk supaya kekal berada di dalam rumah.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran pula memaklumkan bahawa sejumlah besar bahan toksik termasuk hidrokarbon, sulfur dan oksida nitrogen telah dilepaskan ke udara.
Letupan kuat turut menyebabkan tingkap bangunan berhampiran pecah, manakala penduduk yang tinggal beberapa puluh kilometer dari lokasi kejadian dilaporkan membersihkan balkoni rumah mereka yang dilitupi campuran air hujan dan sisa bahan api.
Gabenor Tehran, Mohammad Sadegh Motamedian, berkata pengagihan bahan api di ibu negara itu terganggu sementara akibat serangan tersebut.
“Masalah itu sedang diselesaikan,” katanya.
Buat masa ini, setiap kenderaan di Tehran dihadkan kepada 20 liter bahan api.
Pada pagi Ahad juga, barisan panjang kenderaan dilihat di beberapa stesen minyak dengan puluhan kereta beratur untuk mendapatkan bekalan.
Ahad merupakan hari pertama rakyat Iran kembali bekerja selepas cuti seminggu diisytiharkan susulan kematian pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, dalam serangan udara Amerika Syarikat–Israel minggu lalu.
Walaupun konflik semakin memuncak, kebanyakan penduduk masih kekal di Tehran.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan sekitar 100,000 orang telah meninggalkan ibu negara itu, namun jumlah tersebut jauh lebih kecil berbanding kira-kira enam juta penduduk yang melarikan diri ketika perang 12 hari pada Jun tahun lalu.
Kini, suasana di Tehran dilihat kembali sibuk dengan lebih ramai pejalan kaki dan kenderaan di jalan raya, walaupun kira-kira separuh daripada kedai masih beroperasi dalam keadaan gelap akibat asap tebal yang menyelubungi bandar itu.
Sumber: Berita Harian, AFP
SHARE:
